Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional memandang serius rentetan insiden melibatkan seorang remaja diganggu secara seksual oleh guru yang mempersendakan dan seakan-akan menggalakkan jenayah rogol semasa aktiviti pendidikan kesedaran gangguan seksual.
Setiausahanya, Soraya Salim berkata, isu tersebut sekali lagi mengesahkan keperluan mendesak pembentangan dan kelulusan segera Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang telah berkali-kali ditangguhkan pembentangannya khasnya dalam tempoh Parlimen tidak dibenarkan bersidang sepanjang tempoh darurat ini.
“Komitmen Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada 15 Februari 2021 bahawa kementeriannya akan meneruskan penggubalan RUU Gangguan Seksual untuk dibentangkan di Parlimen juga dilihat tidak lebih sekadar ‘lip service’ (cakap kosong) yang tidak disusuli dengan tindakan ampuh.
“Bagi pembentangan RUU Gangguan Seksual yang telah sekian lama tertangguh ini, komitmen YB Menteri ini tidak mencukupi selagi tidak diterjemahkan kepada tindakan segera apatah lagi Parlimen tidak dibenarkan bersidang sepanjang tempoh ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, AWAN Nasional dan AMANAH melalui Konvensyen Nasional 2020 pada 27 Disember tahun lalu telah sebulat suara meluluskan usul mendesak kerajaan segera membentangkan RUU tersebut di Parlimen.
“Namun, penggantungan Parlimen kini telah membantutkan usaha kami mengemukakan cadangan penambahbaikan untuk RUU ini.
“Kami sekali lagi mengulangi gesaan agar sidang Parlimen diadakan segera bagi membentangkan semua rang undang-undang yang kritikal untuk kesejahteraan rakyat termasuk RUU Gangguan Seksual ini,” tambah Soraya lagi.