Malaysia Dateline

#RinaHarun sohor di Twitter, ramai kecam majlis sumbangan banjir di hotel

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sekarang menjadi topik perbualan orang ramai di media sosial ekoran banjir besar sejak 17 Disember lalu di lapan negeri.

Tanda pagar #Rina Harun menjadi sohor di Twitter dengan hampir 23,000 ciapan menyebut nama menteri berkenaan setakat jam 4 petang ini.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dikecam gara-gara tersebar gambar poster bagi majlis Sumbangan Banjir Keluarga Malaysia yang dipercayai di sebuah hotel.

Rata-rata berpendapat perkara itu tidak patut berlaku ketika bukan sedikit mangsa banjir masih terperangkap bahkan bah besar itu telah meragut banyak nyawa.

“Ini lagi next level punya bodohlah #KeluargaMalaysia. Apa benda nak kena buat majlis makan di hotel bagai nak bagi sumbangan?

“Wahai menteri, marhaen tengah kebulur tu. Awak pula dok buat majlis makan di hotel mewah, konon nak sambut beri sumbangan. Mana common sense?” soal pengguna Twitter, Helmi Effendy.

Sementara itu, @AzzalyH pula secara sinis menulis, “Deria telah divaksin”.

Satu poster tersebar memaklumkan majlis anjuran bersama Shapadu yang dihadiri Rina itu berlangsung di The Grand Campbell Hotel Kuala Lumpur hari ini.

“Shapadu dalam Tamil adalah makanan. Banyak orang tiada “shapadu”, yang padu Rina Harun ada masa lagi di Hotel Grand Campbell,” sinis Kiridaren Jayakumar berkongsikan poster itu.

Tambah mengundang makian warganet apabila Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu dilihat mengenakan kasut tumit tinggi semasa meninjau kawasan banjir.

Rina dilihat memakai ‘heels’ ketika meninjau kawasan banjir.

“Seriuslah Menteri Wanita pakai heels semasa melawat kawasan banjir?!” soal @suetmei.

Gambar kasut yang didakwa dipakai oleh Rina itu juga tular di media sosial.

Ketidaksesuaian pakaian menteri tersebut ketika tragedi akhir tahun yang diumpamakan seperti tsunami itu turut mengundang ilham kepada kartunis.

Kritikan melalui seni itu juga tersebar dikongsikan di media sosial sekali gus menggambarkan sifat tidak peka pihak menteri dan kerajaan ketika tiada pelan pengurusan bencana yang berkesan seperti dibangkitkan pakar sains bumi.

Imej karikatur yang berdasarkan situasi sebenar merujuk pada kasut yang tidak sesuai dipakai oleh wakil rakyat ketika melawat lokasi bencana.