Malaysia Dateline

Ringankan beban rakyat, Pulau Pinang sedia feri percuma

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif segera bagi meringankan beban rakyat tatkala pandemik Covid-19 dengan menyediakan feri percuma bagi semua penumpang pejalan kaki warganegara Malaysia mulai 1 Julai yang akan datang.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam kenyataan beliau berkata, usaha ini adalah selaras bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta membantu mengurangkan beban kos perjalanan rakyat yang terpaksa berulang-alik menggunakan pengangkutan awam.

“Pembiayaan ini akan bermula pada 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2021 dan semua rakyat negara ini termasuklah kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya serta dewasa layak untuk menikmati perkhidmatan feri percuma ini.

” Cadangan ini merupakan susulan kepada perkhidmatan pas perjalanan My30 yang telah dilancarkan pada 1 Mac 2021 yang lalu dimana kerajaan negeri turut membiayai khidmat bas awam milik Rapid Penang secara percuma kepada semua penumpang yang melanggan pas tersebut.

“Jumlah peruntukan keseluruhan adalah dianggarkan sebanyak RM468, 000 melibatkan pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki sebanyak RM78, 000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 sebulan,”ujar beliau.

Malah katanya, kerajaan negeri berharap dengan pembiayaan tambang feri percuma ini ia dapat membantu mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat yang menggunakan khidmat pengangkutan ini setiap hari.