Ringgit cecah paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan, dibuka kukuh pada 4.35 berbanding dolar AS

Oleh MALAYSIADATELINE

Ringgit Malaysia dibuka lebih kukuh pada 4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus merekodkan peningkatan mencecah paras yang tertinggi di dalam tempoh 28 bulan.

Mata wang tempatan itu naik sebanyak 205 peratusan di dalam mata (pip) kepada 4.3515/3700 berbanding dolar AS pada jam 8 pagi daripada 4.3720/3775 pada Jumaat lalu.

Paras tertinggi mata wang tempatan yang ditutup sebelum ini dicatatkan pada 29 April, dua tahun lalu (2022) iaitu 4.3520/3570.

Seorang penganalis berpendapat bahawa peningkatan ini dicapai apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) berada di atas landasan untuk menurunkan kadar faedah, lapor Sinar Harian.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, telah berlakunya peralihan dasar dari mengekang risiko inflasi yang lebih tinggi kepada mengelak pengurangan dalam kadar pertumbuhan pasaran buruh.

Perkara itu dapat dilihat menerusi ucapan daripada Pengerusi Fed, Jerome Powell di dalam persidangan antarabangsa tahunan, Simposium Ekonomi Jackson Hole di AS pada Jumaat lalu.

“Powell amat jelas dalam ucapannya, menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk dasar itu diselaraskan.

“Sehubungan itu, hampir pasti bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 17 hingga 18 September akan menyaksikan Fed memulakan pelonggaran dasar monetarinya,” katanya kepada Bernama memetik laporan Sinar Harian.

Oleh yang demikian, Mohd Afzanizam berpendapat bahawa ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS malah mungkin bergerak ke arah paras sokongan segeranya pada RM4.3000, hari ini.

Ringgit bagaimanapun diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama antaranya yen Jepun iaitu 3.0231/0362 daripada 2.9914/9956 pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan juga merosot berbanding euro kepada 4.8689/8896 daripada 4.8604/8665 sebelum ini dan susut berbanding pound kepada 5.7501/7745 daripada 5.7391/7463 sebelum ini.

Namun prestasi ringgit berbanding mata wang ASEAN dilihat bercampur-campur di mana ia menunjukkan peningkatan berbanding rupiah Indonesia kepada 280.8/282.2 daripada 282.1/282.7 pada Jumaat lepas.

Malah paras mata wang tempatan juga naik berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.75 daripada 7.75/7.76 sebelum ini namun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3447/3595 daripada 3.3410/3454 pada Jumaat lepas.

Tidak ketinggalan, ringgit juga merekodkan penyusutan berbanding baht Thailand kepada 12.8106/8734 daripada 12.7575/7810.

Baca juga: Demi jayakan watak, Nas-T pilih ikat perut, hanya makan protein selama 10 bulan