Ringgit dijangka cecah paras 3.8 berbanding dolar US menjelang akhir 2019

Ringgit dijangka cecah paras 3.8 berbanding dolar US menjelang akhir 2019

Ringgit dijangka naik secara beransur-ansur untuk sekali lagi melepasi paras psikologi 4.0 berbanding dolar US, dan meneruskan aliran meningkat kepada 3.80 menjelang akhir 2019, menurut RHB Research.

Peningkatan rizab forex Malaysia dan langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk tidak menaikkan kadarnya memberikan sokongan kepada mata wang tempatan.

Rizab forex Malaysia naik US$700 juta kepada US$102.1 bilion pada 31 Jan, 2019, selepas susut US$600 juta pada Disember 2018.

“Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkat kepada 3.80 berbanding dolar US menjelang akhir 2019, juga disebabkan kelemahan dolar berikutan Fed AS dijangka menangguhkan langkah untuk menaikkan kadarnya susulan wujud tanda-tanda pertumbuhan ekonomi AS akan lebih perlahan,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Merujuk kepada angka Bank Negara Malaysia, katanya peningkatan rizab forex dijangka dipacu oleh pengumpulan lebihan secara berterusan dalam akaun semasa, manakala portfolio pelaburan mengalami pengurangan aliran keluar dana, disokong oleh aliran masuk bersih ke dalam pasaran ekuiti dalam tempoh itu.

Katanya rizab forex juga dijangka meningkat bulan ini didorong oleh peningkatan akaun semasa dan pengurangan aliran keluar portfolio.

Ringgit naik 0.8 peratus berbanding dolar US kepada 4.0770 pada minggu pertama Februari, selepas meningkat 0.7 peratus pada Januari.

Mata wang tempatan dibuka tinggi pagi ini (9 pagi) pada 4.0650/0700 berbanding dolar US daripada 4.0770/0800 pada penutupan 6 petang Selasa.

— BERNAMA