Ringgit Malaysia dilaporkan telah merekodkan prestasi terbaiknya sejak 1973 dengan peningkatan lebih 12 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat suku ini.
Mata wang tempatan itu juga dijangka meneruskan momentum kenaikannya selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengambil langkah untuk tidak menurunkan kadar faedah bagi menyokong pengukuhan ringgit, lapor Bloomberg.
Kekuatan ringgit ini sudah tentunya disokong dengan pengurangan perbezaan kadar faedah dengan AS, peningkatan prestasi perdagangan dan juga penilaian aset yang menarik.
Penganalisis dipetik Bloomberg yang juga Ketua Strategi Makro Asia di Sumitomo Mitsui Banking Corp iaitu Jeff Ng berkata, peningkatan prestasi ringgit dalam suasana kelemahan dolar turut dibantu oleh lebihan akaun semasa Malaysia, pendirian neutral bank pusat dan asas yang stabil.
“Terutamanya jika pasaran menjangkakan lebih banyak pemotongan kadar oleh AS yang mana situasi ini juga akan mengurangkan perbezaan hasil antara AS dan Malaysia.
“Malah sejak April, ringgit telah menunjukkan peningkatan ketara selepas pemulihan eksport dan usaha BNM untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan untuk memulangkan pendapatan pelaburan dari luar negara,” katanya.
Sekadar info, mata wang tempatan diniagakan stabil pada pukul 8 pagi tadi dengan rekod 4.2005/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 pada Jumaat lepas.
Pelaburan asing juga mempengaruhi prestasi mata wang tempatan dengan data Bloomberg menunjukkan aliran masuk AS$2.5 bilion ke dalam bon negara pada bulan Julai dan Ogos, serta pembelian AS$1.2 bilion saham tempatan sejak akhir Jun.
Pakar Strategi di BNP Paribas, Chandresh Jain berpendapat bahawa aliran masuk ini akan berterusan dalam tempoh masa tertentu selari dengan peralihan pelaburan ke Asia selepas pelabur asing terlalu tertumpu pada mata wang Amerika Latin, tahun lalu.
Penunjuk pasaran turut mencadangkan lonjakan semasa dalam ringgit kemungkinan berpanjangan menandakan potensi pengukuhan mata wang dalam tempoh terdekat.
Walau bagaimanapun, peniaga akan terus memantau pengumuman Belanjawan 2025 yang dijadual bakal dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober depan untuk meneliti pembaharuan subsidi dan defisit fiskal.
Dalam pada itu, Wee Khoon Chong selaku Pakar Strategi di Bank of New York Mellon tidak menafikan bahawa penilaian ringgit adalah menarik dan murah berdasarkan kadar pertukaran efektif.
Baca juga: Jual teh masala atas basikal, ramai terkejut pendapatan graduan ni cecah 6 angka sebulan!