Nilai Ringgit tidak banyak berubah banding Dolar walau pasaran harga minyak menurun

Nilai Ringgit tidak banyak berubah banding Dolar walau pasaran harga minyak menurun

Ringgit dijangkakan tidak banyak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)  minggu depan berikutan kebimbangan terhadap harga minyak yang semakin merosot ketika sentimen global lemah, kata penganalisis tempatan.

Penanda aras harga minyak mentah Brent berada pada paras terendah dalam tempoh 12 tahun, didagangan pada AS$30.54 pada jam 5 petang Jumaat berbanding AS$31.03 setong pada pagi Khamis.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, unit tempatan mungkin terus didagangkan rendah berdasarkan unjuran pertumbuhan dunia, kelembapan ekonomi China, prospek penyusutan renmimbi, ketegangan Saudi-Iran, data ekonomi tempatan yang lemah serta kejatuhan harga minyak yang mungkin menjejaskan psaikologi pelabur dalam jangka pendek.

“Satu lagi hari yang tidak stabil bagi mata wang dan pasaran ekuiti China. sekali gus meningkatkan sentimen negatif. Kami mengambil maklum bahawa People’s Bank of China gagal membendung renminbi, sekali lagi meningkatkan kebimbangan mengenai penyusutan lebih teruk mata wang itu,” katanya dipetik  Bernama.

Dalam pasaran tempatan, Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) pada November meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, peningkatan paling kecil dalam tempoh 16 bulan, lebih rendah berbanding unjuran konsensus sebanyak 4.1 peratus.

Pertumbuhan juga lemah berbanding peningkatan pada Oktober sebanyak 4.2 peratus disebabkan kelembapan sektor perkilangan dan penyuncupan sektor perlombongan.

Keluaran perkilangan yang menyumbang dua pertiga kepada IPP, meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun, peningkatan paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan, dan data ekonomi yang lemah mencadangkan ekonomi tempatan kini ‘berehat’, yang boleh mengekang momentum peningkatan.

Namun, Pengurus Kanan bagi Bon dan Penyelidikan Ekonomi Hong Leong Bank Choong Yin Pheng berkata, unit tempatan mungkin memperoleh kekuatan minggu depan, bergantung kepada harga minyak dan perkembangan dari China, sebagai pemangkin.

“Saya jangkakan ada pemulihan sentimen pasaran memandangkan kami melihat harga minyak kembali meningkat pada Khamis. Selain itu, pasaran juga menunggu penyiaran laporan keluaran dalam negara kasar suku keempat China yang akan memberi petunjuk baharu mengenai ekonomi China kepada pelabur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bank Negara Malaysia dijangkakan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pertamanya tahun ini pada 21 Jan, 2016.

Pada mesyuarat yang berlangsung pada 11 Sept, 2015, bank pusat memutuskan untuk mengekalkan dasar kadar semalam (OPR) pada 3.25 peratus.

Pada tahap semasa, OPR Malaysia dijangka tidak disemak semula, dengan kedudukan dasar itu kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.

Di peringkat serantau, Bank Indonesia pada Khamis mengumumkan pengurangan 25 mata asas OPRnya kepada 7.25 peratus, langkah yang diambil bagi menyokong ekonomi domestik yang semakin pudar.

Ini membantu ekonomi negara itu serta meningkatkan sentimen pelabur, yang terjejas akibat serangan pengganas di ibu kota republik itu.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit mencecah paras 4.40 berbanding dolar AS pada 11 Jan, meletakkan mata wang itu pada nilai dagangan paling rendah pada 4.46 berbanding dolar pada 29 Sept, 2015.

Pada asas mingguan, unit tempatan menyusut berbanding dolar kepada 4.3965/3035 daripada 4.3800/3900.

Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0483/0544 daripada 3.0472/0550 Jumaat lepas dan rendah berbanding yen kepada 3.7458/7524 daripada 3.6993/6093 sebelumnya.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.7917/7011 daripada 4.7611/7737 namun mengukuh berbanding pound British kepada 6.3121/3230 daripada 6.4014/4182.

TAGS