Ringgit jatuh di luar kawalan kerajaan, akui Najib Razak

Ringgit jatuh di luar kawalan kerajaan, akui Najib Razak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri yang pertama bagi tahun 2017 di Putrajaya hari ini mengakui penyusutan nilai Ringgit berlaku di luar kawalan kerajaan.

Sebaliknya, Menteri Kewangan itu mendakwa tiga faktor luar kawalan yang mempengaruhi nilai Ringgit ialah ‘spekulasi berlebihan dalam pasaran luar pesisir’, kejatuhan harga minyak dan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat pada Disember lalu.

Walau bagaimanapun, Najib yakin langkah-langkah yang diambil oleh Bank Negara akan dapat menjadikan mata wang Ringgit lebih stabil tahun ini.

“Dengan langkah-langkah yang diambil Bank Negara, pihak pasaran yakin Ringgit akan lebih stabil, dan mereka percaya keadaan tidak menentu ini dapat dibendung ke tahap normal dalam tempoh terdekat,” dipetik dari Bernama.

Menurut Presiden Umno itu, terdapat petanda dan bibit-bibit harapan dan keyakinan bahawa keadaan ekonomi akan pulih secara lebih positif pada tahun ini setelah berhadapan dengan keadaan ekonomi dunia yang mencabar pada 2016.

Antaranya, harga minyak yang kini berada pada paras US$54 setong selepas Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berbanding US$44 tahun lalu.

Dalam hal berkaitan, Ketua Penganalisis Ekonomi di Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa ini sedang “menyederhana”.

Beliau berkata, data sedia ada menunjukkan pertumbuhan ekonomi berada pada paras 4.2 peratus bagi tempoh Januari sehingga September 2016.

“Angka ini jauh lebih rendah berbanding 5.1 peratus pada tempoh sama bagi 2015,” jelasnya dipetik daripada ‘Analisis Ekonomi’ di Berita Harian hari ini.

Afzanizam turut memberitahu purata kadar pengangguran bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun lalu adalah 3.46 peratus berbanding 3.18 peratus iaitu purata antara Januari 2015 sehingga Disember 2015.

Sehubungan itu, beliau menganggap ekonomi negara sememangnya tidak berada pada tahap potensinya bagi menghasilkan barangan dan perkhidmatan akibat wujudnya lebihan kapasiti pengeluaran yang tidak digunakan.

TAGS