Malaysia Dateline

Nilai ringgit melemah lima hari berturut-turut

Ringgit meneruskan aliran melemah selama lima hari berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan nilainya kekal paling rendah sejak Januari 2017.

Pada jam 6 petang tadi, mata wang tempatan ditutup pada 4.4760/4795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras penutup 4.4720/4750 semalam, lapor Bernama.

Menurut seorang peniaga, pelabur mengharapkan ekonomi AS dapat mengelakkan kemelesetan selepas data tuntutan pengangguran awal merudum kepada 250,000 minggu lalu, turun daripada semakan semula 252,000 yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, dalam masa sama ringgit meningkat berbanding euro dan pound Britain selepas inflasi zon Eropah mencecah paras tertinggi baharu pada 8.9 peratus tahun ke tahun pada Julai, yang tertinggi dalam tempoh 25 tahun.

Sementara itu, inflasi tinggi berterusan di hampir semua negara berpendapatan rendah dan sederhana menyaksikan harga makanan domestik masih kekal tinggi di seluruh dunia dalam tempoh April hingga bulan lalu.

Bank Dunia menerusi Laporan Jaminan Makanan Terkini mendedahkan sebanyak 92.9 peratus negara berpendapatan rendah mengalami inflasi tinggi, 92.7 peratus negara berpendapatan sederhana rendah manakala 89 peratus negara berpendapatan sederhana atas dihimpit paras inflasi melebihi lima peratus.

Di negara ini, Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi bagi Jun melambung 3.4 peratus berbanding bulan sama tahun lalu dan lebih tinggi berbanding 2.8 peratus pada Mei.

Baca juga Hujan saja yang turun, rakyat kecewa kerajaan gagal tangani kadar inflasi

Baca juga Teka-teki KBAT ni, boleh buat modal pada anak