Ringgit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 6 bulan, tak sangka ini puncanya

Oleh MALAYSIADATELINE

Ringgit Malaysia merekodkan peningkatan tertinggi hari ini dalam tempoh enam bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjadi mata wang utama Asia yang berprestasi terbaik.

Mata wang tempatan itu difahamkan meningkat setinggi 4.6630 berbanding dolar AS sebelum berada pada paras 4.6700 setakat pukul 2.52 petang tadi, lapor Berita Harian.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, antara faktor utama kenaikan mata wang tempatan adalah reformasi ekonomi dan kestabilan politik.

Selain itu, kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang dijangka menurun pada September ini juga turut menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan prestasi Ringgit Malaysia.

Jelas Mohd Afzanizam, data terkini menunjukkan inflasi di AS sudah menurun kepada 3.0 peratus berikutan dasar monetari negara itu yang ketat seolah-olah telah berjaya mencapai objektifnya.

Situasi itu sekali gus akan mewujudkan keperluan bagi melonggarkan dasar monetari melalui penurunan kadar faedah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan nilai mata wang tempatan.

Mohd Afzanizam juga berpendapat, tinjauan oleh agensi penarafan kredit serta bank pelaburan yang positif juga telah membantu mewujudkan pertambahan permintaan terhadap Ringgit Malaysia.

“Penurunan kadar faedah di AS akan mengurangkan perbezaan antara Kadar Dana Fed (FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini berada pada paras 2.50 peratus.

“Sekiranya Fed mula mengurangkan kadar faedah pada bulan September ini, maka perbezaan ini akan dapat dikurangkan. Perkara ini menandakan pulangan pelaburan dalam ringgit akan lebih kompetitif sekiranya Fed terus menurunkan kadar faedah pada 2025.

“Pergerakan ringgit juga menunjukkan ‘trend’ yang lebih mengukuh dengan mata wang tempatan dijangka bakal mencecah RM4.65 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mohd Afzanizam yakin bahawa mata wang Malaysia akan terus mengukuh sekiranya kerajaan terus melaksanakan reformasi terutamanya kepada ekonomi negara secara beransur-ansur.

“Kerajaan perlu terus konsisten melaksanakan pembaharuan dan reformasi ekonomi. Namun, perlulah berhati-hati dan secara beransur-ansur supaya tidak mewujudkan suasana kejutan negatif kepada ekonomi. 

“Ringgit sepatutnya akan terus mengukuh. Berdasarkan pengamatan kami, ringgit berpotensi terus mengukuh ke paras RM4.00 dalam tempoh jangka masa sederhana.” Ulasnya.

Sementara itu, nilai yuan China dan rupiah Indonesia juga mengalami peningkatan manakala yen Jepun, won Korea Selatan serta baht Thailand pula menyusut berbanding mata wang AS.

Baca juga: Pakar ekonomi Bank Dunia bersuara, dedah punca sebenar penurunan Ringgit Malaysia