Tidak kiralah apa pun profesion anda, ibu dan bapa akan menjadi tunjang utama dalam memberi kata semangat.
Perkara yang sama buat penyanyi Aina Abdul apabila sering menerima mesej dan komen daripada ibunya.
Menurut portal Gempak, Aina mendedahkan ibunya sering memberi mesej peringatan selepas persembahan dilakukannya.
“Ibu ialah peminat nombor satu saya walaupun dia tengok saya dari jauh. Ikutkan saya lebih rela mak doa saya dari rumah sebab dia pun dah berumur.
“Ikutkan dia la pengkritik tegar saya, setiap kali habis persembahan, waktu subuh esok ya, akan ada mesej bertalu-talu daripadanya. Dia suka hantar voice note macam radio.
“Selalunya dia akan bagi mesej peringatan, tak selalunya berbunga tapi ada masa dia akan kritik juga.
“Dia la paling jujur, sebab kalau kawan-kawan ada yang tak jujur. Ibu saya juga akan tegur baju tak sesuai, kalau pelik sangat pun mak tak bagi,” katanya seperti dipetik Gempak.
Siap minta ibu berhenti baca komen
Pada masa sama, Aina mengakui rasa risau apabila ibunya sering membaca komen negatif dan pedas dilempar netizen.
“Ibu saya tahu kontroversi saya, bagi saya tak bagus untuk ibu saya. Ibu tak ada media sosial tapi dia selalu tengok YouTube dan Astro.
“Dia baca juga komen di YouTube. Dia akan ambil komen itu dan jadi risau.
“Komen yang saya dapat pun bukan yang indah saja, komen diberikan pedas. Bayangkan seorang ibu tengok komen sebegitu.
“Jadi, saya selalu cakap dekat ibu, ‘mak stop tengok YouTube’,” tambahnya.