Risau tetamu datang mengejut? Cuba resepi Singgang Ikan Selar ini – “20 minit je!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Sinonim dengan masyarakat pantai Timur, hidangan singgang merupakan salah satu jenis lauk yang cukup mudah untuk disediakan.

Tidak perlu menggunakan minyak atau melibatkan proses menumis, maka tidak perlu hairanlah sekiranya hidangan sihat ini dipilih jika tukang masak kesuntukan masa.

Hanya memakan masa tidak sampai 30 minit, resepi Singgang Ikan Selar ini sangat sesuai digunakan bagi mereka yang tiba-tiba menerima tetamu ‘mengejut’ di rumah.

Berikut kami kongsikan Resepi Singgang Ikan Selar berdasarkan satu hantaran dari pemilik bernama Nana Sabrina Sarsan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

“Ini cara mak saya masak. Sedap hirup kuah dia panas-panas. Lawan pula dengan sambal belacan dan ulam-ulam. Bertambah nasi sampai bepeluh-peluh dibuatnya,” katanya.

Bahan-bahan:

  • Dua ekor ikan selar (potong dua)
  • Garam secukupnya
  • Sedikit perahan air asam jawa (mengikut selera)
  • Air untuk dijadikan kuah
  • Serai (diketuk)
  • Sebiji bawang merah besar (dihiris)
  • Dua ulas bawang putih (dihiris)
  • Satu inci halia (dihiris)
  • Setengah inci kunyit hidup (dihiris)
  • Serbuk kunyit secukupnya
  • Satu sudu teh minyak
  • Tomato (pilihan sendiri)
  • Cili merah dan cili padi (pilihan sendiri)

Cara penyediaan

Campur semua bahan-bahan ke dalam periuk. Kemudian, didihkan dengan api yang perlahan selama 20 minit. Lauk Singgang Ikan Selar anda siap untuk dihidangkan!

Bahan-bahan pilihan tidak perlu dimasukkan jika tidak kena dengan selera anda. Namun jika mahu tambahkan tomato, letakkan di akhir langkah selepas kuah mendidih.

Perkara ini bagi mengelakkan tomato hancur kerana terlalu lama dididihkan bersama kuah Singgang Ikan Selar tersebut.

Baca juga: Lelaki dedah perangai buruk orang kita bila layan ‘Pak Guard’ warga asing, kalau tak pandang hina mesti dimaki