Risiko masuk hospital kalau jamah nasi, lelaki ini minta isteri masak ‘western’ setiap hari

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pasangan pengantin baharu yang sedang ‘makan beradab’ namun mempelai lelaki seperti enggan memakan nasi disuap oleh isterinya.

Rupa-rupanya, pengantin lelaki itu tidak boleh memakan nasi malah sama sekali tidak pernah menyentuh hidangan berkenaan sepanjang hidupnya selama hampir 23 tahun.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, lelaki terbabit mengakui bahawa kali terakhirnya menyentuh makanan yang membekalkan karbohidrat atau tenaga itu adalah ketika usianya 5 tahun.

Difahamkan, pengantin baharu terbabit mungkin boleh berhadapan dengan risiko mengalami muntah-muntah seterusnya dikejarkan ke hospital sekiranya makanan itu dijamah.

“Janganlah paksa saya untuk makan nasi. Nanti hospital perginya. Kali terakhir makan nasi sewaktu umur saya 5 tahun. Sekarang umur saya sudah 28 tahun. Jadi hampir 23 tahun saya tidak pernah sentuh nasi.

“Jadi awak (isteri) kenalah masakkan saya hidangan Barat setiap hari. Paling malas pun roti bakar dan sapu kaya pun sudah boleh,” katanya dalam nada seloroh kepada pengantin perempuan.

@ammar_loy

Hidup tanpa nasi selama 23 tahun , alhamdulillah kini istri bakal ikut sama tak makan nasi juga HAHAHAH 😂😂, jangan pelik sy juga manusia biasa, bukan alien yang turun dari planet pluto 🙈 Ahli2 group tak makan nasi bersatu kumpul sini, kita buat group ws HAHAHHA mua by@FIFI CLIO groomingstylist by @Wan Jelani fyp fyppp CapCut kawansampaikahwin pengantintakbolehmakannasi allergicNasi takmakannasidarikecil pengantintakbolehmakannasidarikecil

♬ Bertahan Demi Cinta – Fazura & Fattah Amin

Menurut pengantin baharu itu, masalah tersebut turut dialami oleh abang kandungnya sendiri di mana pemuda berkenaan juga tidak pernah menjamah nasi sejak umurnya 7 tahun.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang dimuat naik oleh pengantin baharu terbabit sudah meraih sebanyak 377,900 tontonan dan 8,986 tanda suka daripada pelayar TikTok.

“Selepas ini kita tengok abang saya pula naik pelamin. Dia pun sama, 23 tahun tak pernah sentuh nasi. Kali terakhir makan ketika umur 7 tahun. Macam inilah kami meratah lauk sahaja.

“Jangan pelik, saya juga manusia biasa. Bukan alien yang turun dari planet Pluto. Ahli kumpulan yang tak makan nasi, mari bersatu berkumpul di sini,” tulisnya di ruangan kapsyen hantaran itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati keadaan dialami oleh pengantin lelaki terbabit bukanlah sesuatu yang baharu malah turut dihadapi oleh ramai pengguna TikTok.

Rata-rata pengguna juga tampil berkongsi pengalaman sendiri ataupun ahli keluarga mereka yang dikejarkan ke hospital serta ruangan kecemasan sekiranya menjamah nasi.

Baca juga: Netizen sempat rakam kelibat Tunku Azizah naik AirAsia buat ramai teruja