Risiko perlombongan emas di Marang harus dipantau kerajaan negeri Terengganu

Risiko perlombongan emas di Marang harus dipantau kerajaan negeri Terengganu

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin mendedahkan aktiviti perlombongan emas di negeri itu berisiko  berlakunya pencemaran.

Beliau berkata, aktiviti perlombongan emas yang berhampiran dengan  kawasan perkampungan di Marang itu telah menjadi tarikan ramai  pengusaha lombong emas sejak di bawah pemerintahan kerajaan Barisan  Nasional (BN).

Katanya, adalah wajar Kerajaan Negeri Terengganu memberi perhatian  aktiviti perlombongan emas di Marang baik yang berlesen ataupun  yang tidak berlesen demi keselamatan kesihatan penduduk kawasan  tersebut.

“Berbeza dengan situasi perlombongan di Kelantan yang dibuka agak  jauh dari kawasan penduduk, kawasan perlombongan di Marang  mempunyai banyak kampung tradisi yang berdekatan malahan aktiviti  tersebut dilakukan berhampiran rumah kediaman,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan kawasan lombong emas di Marang yang diusahakan oleh pelombong dipercayai tanpa kawalan keselamatan dan pemantauan daripada pihak berkuasa dan kerajaan negeri yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Beliau turut meninjau kawasan perlombongan tersebut berkata,  merujuk kepada kajian antarabangsa menunjukkan apabila aktiviti perlombongan dijalankan dan kawasan yang diterokai terdedah kepada  udara, hujan dan panas, bahan mineral yang terdedah akan menjadi  tidak stabil dan mengeluarkan bahan kimia beracun ke dalam air dan  juga udara persekitaran.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, , air yang terdedah dengan pencemaran ini akan mengalir ke  dalam alur dan sungai berdekatan dan juga akan meresap kedalam  tanah, memasuki sumber air perigi penduduk kampung manakala gas  bertoksik dan debu kering yang dilepaskan ke udara pula akan ditiup  oleh angin sehingga beberapa kilometer dari tempat operasi lombong  tersebut.

Justeru katanya, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan  jika insiden pencemaran alam berlaku melalui udara dan air.

“Kita mengambil iktibar dari apa yang dilaporkan telah berlaku di  Kuala Koh Kelantan, adalah perlu pihak berkuasa di Terengganu  memantau dan mengkaji kesan dari aktiviti perlombongan emas yang  telah lama berjalan dan telah terdedah kepada cuaca hujan dan panas  sejak begitu lama.

“Berbeza dengan situasi di Kuala Koh yang terletak jauh dari  kawasan penduduk yang ramai, kawasan perlombongan emas di Marang  terletak lebih dekat dengan kawasan perkampungan.

“Maklumat tentang pencemaran alam sekitar boleh diperolehi dengan  mudah hari ini. Oleh itu tidak ada alasan boleh diberikan sekiranya  kurang pemantauan serta penguatkuasaan alam sekitar hari ini,”  katanya.

Tambah beliau lagi, isu membabitkan kematian Orang Asli Suku Batek  di Gua Musang, Kelantan ujarnya, pada awalnya tidak diketahui punca  kematian berlaku perlu dijadikan pengajaran pihak terbabit.

“Apa yang telah dikeluarkan secara rasmi oleh pihak berkuasa ialah  sebahagian daripada mereka yang mati disebabkan oleh penyakit yang  menyerang sistem pernafasan paru paru, ramai pihak terutamanya NGO  dan pihak yang terlibat dengan hak asasi alam sekitar mengaitkan  aktiviti perlombongan haram di kawasan hutan berhampiran tempat  tinggal Orang Asli Suku Batek adalah sebab utama pencemaran yang  boleh menjadi salah satu punca kematian,” ujarnya lagi.

“Apa yang membimbangkan adalah sikap Kerajaan Negeri Kelantan  melalui Timbalan Menteri Besarnya menyatakan bahawa Kerajaan Negeri  Kelantan tidak mengetahui wujudnya aktiviti perlombongan haram itu.

“Tidakah ada usaha pemantauan dari pihak berkuasa bagi memastikan  perlombongan dan pembalakan haram tidak berleluasa?

“Kerja kerja perlombongan mesti dipantau serta dikawal bagi  memastikan segala peraturan dan piawaian dipatuhi. Kesejahteraan  serta keselamatan rakyat adalah keutamaan dan kerajaan perlulah  memberi perhatian serta menjadi prioriti utama,” ujarnya.