Rita Rudaini ugut sebar muka ‘guru toksik’, berang dituduh curi kuota MRSM buat B40

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon kontroversi, Rita Rudaini berhasrat untuk mendedahkan wajah seorang guru yang didakwa telah menyebarkan kenyataan fitnah mengenai dirinya.

Tindakan tersebut bakal dilakukan oleh pelakon berusia 47 tahun itu sekiranya guru terbabit gagal menghubunginya selewat-lewatnya sebelum tamat cuti persekolahan.

Sebelum menyebarkan gambar, Rita juga bertekad untuk terus mendedahkan sedikit demi sedikit gambaran mengenainya sehingga guru itu membuat permohonan maaf.

Tular di media sosial, hasrat tersebut dikongsikan pemilik nama sebenar Rita Rudaini Mokhtar itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya, baru-baru ini.

“Selagi kamu tidak menghubungi saya, sikit-sikit saya akan bagi clue (pembayang). Cikgu mulut lalat taik. Mana maruah kamu sebagai seorang pendidik? Pakai tudung tetapi hati busuk.

“Mengajar di tempat mulia tetapi kaki mengumpat dan kaki fitnah. Anda tutup aurat tetapi lupa nak tutup mulut. Pembayang seterusnya akan datang,” tulis bintang filem Mami Jarum itu.

Tidak mencerminkan kelakuan sebagai pendidik, Rita Rudaini menganggap individu tersebut sebenarnya tidak layak bergelar guru kepada murid sekolah atau binatang.

“Lain kali kalau nak mengumpat, cikgu tengok cermin dulu. Seronok sangat sampai lupa diri kan. Mengumpat dan memfitnahkan sudah menjadi makanan harian cikgu.

“Cikgu tak layak bergelar guru atau pendidik. Tak layak mengajar budak. Mengajar binatang pun cikgu tak layak!.” Sambung Rita Rudaini meluapkan kemarahannya.

Terdahulu, Rita meluahkan kekesalannya di akaun Intagram miliknya apabila dituduh merampas hak atau kuota daripada golongan kurang berkemampuan iaitu B40.

Dakwa anak kelahiran Perlis itu, tuduhan tersebut dilemparkan oleh seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas anaknya berpindah ke sekolah tersebut.

Tidak dapat mengawal emosi, Rita Rudaini turut menyindir guru terbabit agar menbuang sahaja tudung jika tidak mampu menahan mulut daripada mengumpat atau memfitnah.

Baca juga: Isu boikot jejas perniagaan, McDonald’s hantar surat saman kepada BDS Malaysia