Malaysia Dateline

Riza Aziz, curi ayam dan Najib

1. Masa saya kanak-kanak dan remaja di kampung pada tahun 1950-an dan 60-an dulu, boleh kata semua orang pelihara ayam.

2. Bila semua orang ada ayam, tidaklah ada permintaan untuk ayam. Ada tidak pun daripada orang Cina dari pekan-pekan berdekatan.

3. Bila tidak ada permintaan atau kurang permintaan, harga ayam pun tidaklah mahal.

4. Yang peliknya pencuri ayam tetap ada dan inilah jenis pencuri yang paling ramai dan boleh dikatakan semuanya Melayu.

5. Melayu pelihara ayam dan Melayu curi ayam. Tapi bila nak jual ayam curi, kena cari peniaga ayam Cina.

6. Pencuri ayam ini dikira penjenayah kelas paling rendah dan selalunya kena tangkap dan masuk penjara seminggu dua. Boleh kata semua orang kampung sampai budak-budak pun kenal dia.

7. Sebaliknya tauke Cina yang beli ayam curi tak pernah kena tangkap. Maksudnya dari dulu lagi tauke Cina boleh kowtim dengan pihak berkuasa yang umumnya Melayu.

8. Jadi timbullah pertanyaan adakah pencuri ayam mencuri kerana mencari makan atau sememangnya mereka suka mencuri?

9. Dipantaskan ke abad ke-21, nampaknya sindrom curi ayam ini masih berlaku cuma tidak lagi melibatkan ayam tapi duit sampai berbilion-bilion ringgit.

10. Logiknya pencuri ayam moden ini tidak perlu mencuri sebab mereka dilahirkan kaya raya, berpelajaran tinggi dan berjawatan besar. Tapi mereka curi juga. Tak tahulah kalau dalam tubuh badan mereka mengalir darah pencuri ayam.

11. Tapi Riza Shahriz Abdul Aziz tidak dituduh mencuri. Dia dituduh mengubah duit haram. Daripada mana datang duit haram itu? Kalau bukan duit curi, pasal apa tak boleh tunjuk bukti?

Wallahuaklam.Terima kasih.