Malaysia Dateline

Rizab antarabangsa Malaysia sebanyak US$103.17 bilion pada akhir Nov 2019, kata BNM

Rizab Malaysia tetap boleh guna sehingga akhir November 2019, dengan aset rizab rasmi berjumlah US$103.17 bilion, berdasarkan format ‘Special Data Dissemination Standard’ Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata aset mata wang asing lain berjumlah US$61.8 juta.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing termasuk antaranya pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing, berjumlah US$4.98 bilion,” katanya.

BNM berkata kedudukan hadapan pendek berjumlah US$13.27 bilion pada akhir November 2019, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2.57 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun, berjumlah US$336.6 juta,” menurut BNM.

Menurut bank pusat itu, tiada terdapat sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“ Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.– BERNAMA