Malaysia Dateline

Rizab Selangor rekod kedudukan baik enam bulan pertama tahun ini

Kerajaan Negeri Selangor mencatatkan kedudukan kewangan yang baik apabila mencatatkan jumlah rizab RM2.38 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata rizab itu adalah menerusi perolehan Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

“Bagaimanapun pada (bagi tempoh separuh tahun berakhir) 30 Jun 2019, baki Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mencatatkan pengurangan sebanyak 16.3 peratus atau RM467 juta iaitu berkurang daripada RM2.84 bilion kepada RM2.38 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2018.

“Baki rizab Kerajaan Negeri pada 31 Dis 2018 berjumlah RM2.1 bilion,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun Selangor, hari ini.

.Amirudin (PKR-Sungai Tua) berkata demikian ketika menjawab soalan Elizabeth Wong (PKR- Bukit Lanjan) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas- Sijangkang) berhubung prestasi kewangan terkini Kerajaan Negeri.

Selain itu Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Selangor mencatatkan pengurangan sebanyak RM467 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu berkurang dari RM2.84 bilion kepada RM2.38 bilion berbanding tempoh sama pada 2018.

Amirudin berkata, dalam tempoh enam bulan tahun ini juga baki Akaun Hasil Disatukan, merekodkan pengurangan dari RM1.6 bilion kepada RM721.19 juta, berkurang sebanyak 55.35 peratus atau RM894.25 juta berbanding tempoh sama, tahun lepas.

“Sehingga Disember 2019, Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM2.64 bilion dan sasaran hasil sebanyak RM2.2 bilion yang mana defisit itu akan dibiayai dengan menggunakan Akaun Hasil Disatukan.

“Justeru, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah proaktif dalam mengawal dan melaksanakan perbelanjaan berdasarkan unjuran keseluruhan berkenaan,” katanya
— BERNAMA