Rizman Ruzaini sekali lagi membanggakan Malaysia selepas busana rekaannya digayakan penyanyi terkenal Lady Gaga ketika mengadakan persembahan Lady Gaya Jazz & Piano di Park MGM, Las Vegas, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Jika anda masih ingat, busana rekaan Rizman Ruzaini juga pernah diperagakan oleh model tersohor antarabangsa, Naomi Campbell ketika pertunjukan fesyen Dubai Fashion Week.
Kali ini, pereka duo itu berkongsikan perkembangan terbaharu di Instagram bahawa Lady Gaga telah menggayakan busana rekannya.
Menerusi video yang dikongsikan netizen, penyanyi itu menyarung gaun labuh potongan sopan hasil sentuhan dinamik RR ketika menyanyikan lagu popularnya, Americano sambil memetik piano.
Busana rona merah hati itu sarat perincian mewah apabila bertatahkan ribuan batu Swarovski.
Keterujaan apabila dapat berkolaborasi dengan bintang Holywood itu turut dikongsi RR menerusi hantaran berbentuk video yang dimuat naik di Instagram rasmi mereka.
Entri yang memaparkan proses penghasilan busana itu turut diiringi keterangan gambar yang memetik judul lagu popular pemilik nama sebenar Stefani Joane Angelina Germanotta itu.
“Telefon Paparazi kerana kami berada di The Edge of Glory! Ini adalah Lady Gaga mengenakan rekaan khas Rizman Ruzaini ketika membuat persembahan Americano di residensi Las Vegas.
“Ini membuatkan kami ingin melepaskan segala-galanya dan Just Dance,” tulis mereka.
Baca juga: Terkejut tengok perubahan gadis lepas turun berat 40kg, tak sangka ini rahsia tampil kurus