Malaysia Dateline

RM 7.184 billion mampu bantu 7.7 juta rakyat, bukan menteri semata

Dalam isu Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan tambahan yang diluluskan dalam Dewan Rakyat 17 Ogos yang lalu dilihat sebagai suatu pembaziran terhadap duit rakyat.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata bahawa peruntukan tersebut adalah merupakan peruntukan bagi menampung pertambahan 15 anggota kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, anggota kabinet seramai 70 orang ini dikatakan merupakan saiz kabinet yang paling terbesar bagi kerajaan Malaysia semenjak Merdeka.

“Semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH), anggota kabinet hanyalah seramai 55 orang berbanding dengan kerajaan PN seramai 70 orang.

“Semasa pentadbiran kerajaan PH hanya terdapat 24 kementerian dengan 25 menteri dan 28 timbalan menteri berbanding kerajaan PN mempunyai 26 kementerian, 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

“Ada kementerian baharu tidak perlu diwujudkan sebenarnya seperti 3 kementerian iaitu, Kementerian Alam Sekitar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi di bawah kerajaan PN datangnya dari 2 kementerian sahaja di bawah kerajaan PH iaitu Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Selain itu terdapat juga kementerian yang lain turut diperbanyakkan di zaman kerajaan PN berbanding zaman kerajaan PH,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Beliau yang merupakan Adun Kota Iskandar menyatakan bahawa tindakan perlantikan tambahan menteri dan timbalan menteri digunakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai strategi mendapatkan sokongan politik kepada kerajaan PN.

Tambahnya, ini bermakna RM 7.184 billion duit rakyat digunakan Muhyiddin dan PN untuk membeli sokongan khususnya daripada ahli-ahli parlimen.

“Sepatutnya RM 7.184 billion ini boleh digunakan untuk membantu rakyat Malaysia khususnya daripada golongan B40 (berpendapatan rendah) dan M40 (berpendapatan sederhana) bagi menghadapi keadaan ekonomi yang merosot pasca Covid 19.

“Bahkan RM 7.184 billion ini boleh digunakan untuk meneruskan program 6 bulan moratorium yang akan berakhir pada September ini yang melibatkan kos sebanyak RM 6.4 billion dengan memberi manfaat kepada 7.7 juta orang.

“Kerajaan PN sepatutnya dalam keadaan hutang negara dan liabiliti telah mencecah RM 1.2 trillion perlu lebih berhemah dan telus dalam perbelanjaan dan tidak sebaliknya menggunakan duit rakyat bagi membeli sokongan politik untuk kepentingan politik PN semata-mata,” ujarnya lagi.