Malaysia Dateline

RM1.13 bilion dipindahkan ke akaun Najib antara 2011 dan 2013

Bekas pegawai bank yang menguruskan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sebanyak RM1.13 bilion telah dipindahkan ke akaun Najib antara 2011 dan 2013.

Joanna Yu Ging Ping, 48, yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank berkata Najib menerima US$369.99 juta menerusi beberapa pemindahan wang antara 2011 dan 10 Jan 2013.

Saksi ke-54 itu berkata demikian semasa diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, pada hari ke-45 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit : Jumlah semua mata wang asing yang dipindahkan ke akaun Najib yang bernombor akhir 694 ialah US$369.99 juta

Yu : Ya.

Harvinderjit : Dan jumlah itu bersamaan dengan RM1.136 bilion

Yu : Ya.

Sebelum itu, Yu juga mengesahkan bahawa US$100 juta telah dipindahkan ke akaun semasa Najib yang nombor akhirnya 694 itu pada 2011.

Harvinderjit menyoal Yu untuk mengesahkan bahawa akaun Najib menerima kira-kira US$100 juta pada 2011, menerusi dua pemindahan wang sebanyak US$10 juta masing-masing, satu pemindahan sebanyak US$50 juta dan satu lagi pemindahan wang sebanyak US$30 juta dan saksi berkenaan mengesahkan jumlah itu.

Sementara itu Yu berkata ahli perniagaan yang juga orang buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low memainkan peranan penting dalam membuat keputusan bagi pengurusan akaun Najib.

Yu berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil yang juga pemegang mandat bagi akaun-akaun itu seolah-olah seperti seseorang yang hanya menjadikan arahan-arahan itu rasmi.

Harvinderjit : Kamu kata “Jho menghantar kepada saya semua arahan-arahan ini, saya katakan kepadanya supaya memberitahunya kepada Nik Faisal. Kenapa kamu menyuruh Jho

Yu : Pada sikiran saya, mereka telah membincangkan perkara itu.

Harvinderjit : Perbualannya ialah kamu menerangkan kepada seseorang yang tiada pengetahuan mengenainya

Yu : Mungkin…ya.

Harvinderjit: Saya menganggap kamu mendapat semua maklumat ini daripada Jho dan kamu menjadikannya rasmi dengan Nik Faisal

Yu : Ya.

Harvinderjit : Adakah kamu bersetuju bahawa arahan-arahan itu datang daripada Jho dan Nik Faisal hanya menjadikannya rasmi

Yu : Nampaknya macam itulah.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.- BERNAMA