Penjimatan RM1.8 bilion dari projek tebatan banjir selepas ditender semula digunakan untuk membantu masalah banjir di Johor dan air di Kelantan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara ini dimaklumkan beliau ketika bertemu rakyat di Labu, Negeri Sembilan semalam. Katanya, dari RM1.8 bilion yang berjaya diselamatkan itu, RM1 bilion diberikan untuk membantu masalah air di Kelantan.
Dalam majlis itu, kata PM Anwar, beliau menjelaskan mengenai projek tebatan banjir yang telah diluluskan Kerajaan terdahulu tanpa melalui tender dan prosedur standard kewangan yang menelan belanja sebanyak RM15 bilion.
“Setelah disemak dan ditender semula, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM1.8 bilion, dan penjimatan itu telah saya salurkan sebanyak RM800 juta kepada kerajaan negeri Johor bagi menyelesaikan masalah banjir di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
“Baki sebanyak RM1 bilion lagi telah saya salurkan kepada kerajaan negeri Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sana,” kata beliau di majlis itu.
Katanya, beliau menyebutkan perkara ini sebagai contoh bukti bahawa ini gerak kerja Kerajaan selama 7 bulan di mana sekiranya tatakelola sesebuah Kerajaan itu baik, hubungan baik antara negeri dan Pusat dijaga dengan tertib, maka rakyat pasti mendapat dan menikmati hasilnya.
“Ini adalah modal kami di pihak Kerajaan Perpaduan dalam siri kempen pilihanraya di enam negeri saat ini.
“Saya amat menggesa calon-calon Perpaduan yang bertanding untuk memperpanjang pencerahan ini kepada rakyat terutamanya mengenai senarai kejayaan dan pencapaian kita dalam tempoh singkat 7 bulan dan bandingkan dengan kegagalan mereka selama 33 bulan mentadbir, dan apakah mereka berani dan bersedia untuk mempertahankan dasar-dasar mereka,” katanya.
Beliau juga meminta agar cercaan dan sindiran pembangkang “tapi kita mesti perlihatkan contoh serta budaya politik yang lebih matang, lantas tamadun yang madani dapat dipaculkan.
“Justeru, lontaran saya kepada pihak sana — serang kami dengan fakta dan silakan sanggah mana-mana dasar Kerajaan Perpaduan yang kalian anggap zalim dan saya bersedia menjawab dan pertahankan.
“Ada berani,” cabar beliau kepada pembangkang di majlis yang penuh sesak dengan orang ramai itu.