Malaysia Dateline

RM100 juta akan dimanfaatkan usahawan tani B40 seluruh negara

Sebanyak RM100 juta akan disalurkan kepada 3,000 usahawan tani yang berpendapatan rendah (B40) di bawah kerjasama strategik antara pemain utama industri, Petronas dan Agrobank.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, kerjasama tersebut menyaksikan Petronas memperuntukkan pelaburan kepada Agrobank, yang akan disalurkan selama lima tahun untuk menyokong pembangunan ekonomi B40.

Beliau berkata, melalui pembiayaan secara mikro kredit, dana akan diberikan serendah RM10,000 sehingga RM300,000 kepada mereka yang terpilih

“Kolaborasi ini satu perkara yang sangat besar impaknya dalam sektor pertanian dalam negara dan saya akan memastikan agrobank dapat menguruskan kewangan ini dengan bijak dan berintegriti.

“Ini demi mengelakkan daripada berlakunya sebarang ketirisan dan mewajibkan golongan sasar yang tepat (mendapat pembiayaan) untuk mempercepatkan usaha kita mencapai objektif asal iaitu membawa golongan b40 menjadi kumpulan m40

“Kita mengunjurkan untuk memberi manfaat kepada lebih kurang 3,000 daripada keseluruhan 90,000 usahawan tani di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani Kerjasama Strategik Petronas & Agrobank: Program Memperkasakan B40, di Dewan Conference 1, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar; Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh; dan Presiden Petronas & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Pada masa sama katanya, bagi memastikan tiada ketirisan yang akan berlaku, beliau akan mempertimbangkan untuk mewajibkan Agrobank membuat laporan setiap bulan secara terus kepada kementeriannya.

“Saya akan pastikan dalam mesyuarat post cabinet, mungkin sebulan sekali Agrobank kena laporkan secara terus kepada saya supaya setiap pergerakan dapat kita pantau,” tegasnya.

Sementara itu, Mohamed Azmin menyifatkan bantuan kepada usahawan melalui pembiyaan mikro kredit bakal menjadikan sektor pertanian lebih cerah khususnya untuk generasi muda memperoleh pendapatan yang jauh lebih lumayan.

Jelasnya, kerajaan komited merealisasikan usaha yang digariskan dalam Wawasan Kemakmruan Bersama 2030 yang diantaranya untuk merapatkan jurang pendapatan di antara wilayah dan meningkatkan produktiviti masyarakat desa.

“Pertanian di Malaysia berada diambang anjakan baru yang akan meningkatkan sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan menjana nilai baru dan meningkatkan daya saing.

“Pembiayaan mikro juga akan mencetuskan kesan kemajuan berganda ke atas sektor pertanian,” ujarnya.