Malaysia Dateline

RM11.6 juta sedia tangki untuk rakyat Kelantan, warganet pakat ‘sekolahkan’ kerajaan negeri

Rata-rata warganet pakat ‘sekolahkan’ kerajaan negeri Kelantan yang menyediakan lori tangki dan tangki statik dengan peruntukan sehingga RM11.6 juta.

Walaupun kerajaan negeri diterajui Pas itu menganggap tindakan tersebut sebagai usahanya meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air, tetapi langkah tersebut dianggap netizen sebagai tidak mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat di Kelantan.

Ada warganet yang menggesa kerajaan negeri supaya meneliti semula kawasan yang mengalami tekanan air rendah untuk dibina tangki menara dan rumah pam.

“Tangki itu guna bila ada pelan kontigensi saja. Bukan hari-hari. Patut tengok balik kawasan-kawasan yang tekanan rendah untuk buat tangki menara dan rumah pam.

“Dalam kebenaran merancang, ada tengok tak pelan untuk letak tangki air bagi kegunaan kawasan perumahan?” kata Abu Al Hafiy.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri melakukan penzonan kawasan kawasan yang kritikal mengalami masalah bekalan air bersih selain dalam masa sama menyelesaikan masalah air berkarat.

Hal air berkarat juga dibangkitkan pengguna Facebook, Norhayati Jamaluddin.

“Jika air paip tiada bolehlah hantar tangki. Masalahnya air paip ada tapi berselut/berkarat dah bertahun-tahun,” luahnya.

Kritikan tersebut antara kecaman orang ramai menerusi komentar bagi hantaran Harakahdaily di Facebook rasmi lidah rasmi Pas itu mengenai peruntukan kerajaan negeri Kelantan sebanyak RM11.6 juta untuk menyediakan lori tangki dan tangki statik.

Kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud tersebut dihujani lebih 400 komentar setakat pagi ini selepas 18 jam dimuatnaik dengan majoritinya mengecam kerajaan Pas itu.

Tidak kurang juga yang menyelar barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menikmati kenaikan gaji pokok ribuan ringgit tetapi kualiti kerja dalam berkhidmat kepada rakyat ‘ke laut’.

Warganet menganggap penyediaan lori tangki dan tangki statik itu ibarat lepas batok di tangga.

“Gaji berpuluh ribu setiap seorang tapi bodoh dalam mentadbir dan menyelesaikan masalah. Isu air tak boleh uruskan, baik letak jawatan dari politik,” kecam Azwan Abdullah.

Sementara itu, Mustakeen Yusof pula menyindir, “Baik hantar van penerangan baca doa minta hujan. Boleh juga jual besen murah-murah, YB.”

Baca Husam persoal projek loji mini AKSB kutip komisyen atau selesai masalah air