Malaysia Dateline

RM141 juta perbelanjaan PRN Melaka dan Johor, kos melambung 194 peratus

Sebanyak RM141 juta kos dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kos itu merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan ICT, logistik dan elaun petugas.

Jelasnya, perbelanjaan SPR itu juga termasuk pelbagai keperluan yang berkaitan serta mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini, didapati kos bagi PRN Melaka dan PRN Johor masing-masing berjumlah RM45 juta dan RM96 juta.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Kos tersebut masing-masing meningkat sebanyak RM32 juta dan RM61 juta berbanding semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Semakan Malaysia Dateline mendapati perbelanjaan SPR bagi melaksanakan kedua-dua PRN itu melambung sebanyak 194 peratus berbanding semasa PRU-14.

Untuk rekod, PRN Melaka berlangsung pada 20 November tahun lalu manakala pengundi biasa PRN Johor membuang undi pada 12 Mac lalu.

Baca Lagi: https://malaysiadateline.com/pasca-prn-johor-amanah-menangi-satu-kerusi-salahuddin-tekad-sampaikan-suara-rakyat-dengan-lantang/

Baca Lagi: https://themalaysialife.com/kalah-berdebat-dengan-rakan-pasal-tangmo-lelaki-bunuh-diri-lompat-balkoni/