Malaysia Dateline

RM2.6 juta disalur pada guru KAFA seluruh negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada Isnin telah menyerahkan bantuan peruntukan kebajikan sebanyak RM2.6 juta kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.
Beliau turut melancarkan Tabung Kebajikan KAFA bagi membantu meringankan beban para guru.
 Beliau berkata, peruntukan yang diserahkan dalam majlis Konvensyen Penyelia KAFA peringkat kebangsaan itu akan disalurkan melalui persatuan guru KAFA atau badan kebajikan guru KAFA yang berdaftar.
 “Bagi negeri yang tidak mempunyai persatuan guru KAFA atau badan kebajikan guru KAFA, mereka dinasihatkan untuk menubuhkannya bagi memudahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan peruntukan kebajikan tersebut.
 “Untuk makluman, negeri yang menerima peruntukan kebajikan terbanyak ialah Kelantan iaitu sebanyak RM388,000.
“Sebagai rekod juga, sehingga Febuari 2019, jumlah murid KAFA di seluruh negara adalah seramai 996,42 orang dengan jumlah guru KAFA seramai 32,500 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KAFA merupakan program pengukuhan yang berkonsepkan pendidikan agama Islam peringkat rendah bagi kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun.
Katanya, program tersebut memberi penekanan kepada asas-asas fardhu ain dan kemahiran membaca al-Quran serta amali di samping memberi kemahiran dalam penulisan dan pembacaan Jawi.
 “Semoga dengan pelancaran tabung ini ia dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh guru KAFA di seluruh negara,” ujarnya.