BN Selangor dakwa RM2.95 bilion peruntukan Marris disalahguna kerajaan negeri

BN Selangor dakwa RM2.95 bilion peruntukan Marris disalahguna kerajaan negeri

Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali)  mendakwa peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM2.95 bilion kepada negeri Selangor ‘hilang’ daripada kewangan negeri.

Bangun membahaskan Bajet 2018 di Dewan Undangan Negeri hari ini, beliau berkata jumlah peruntukan terkumpul itu telah disalurkan kepada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) untuk pembaikan jalan raya di negeri ini sejak 2012.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kenyataan anggaran perbelanjaan dan amaun yang diterima oleh kerajaan negeri (untuk Marris) mesti dibentangkan dalam sidang dewan berlansung.

“Bagaimanapun, jumlah (dalam buku Belanjawan Anggaran Selangor) dari tahun 2012 hingga 2017 tidak dinyatakan.

“Saya minta Menteri Besar menjelaskan sama ada ini adalah penyalahgunaan peruntukan Marris?

“Kami bimbang jika terdapat penyalahgunaan, ia akan menjadi berleluasa jika ia tidak ditangani,” katanya.

Mat Nadzari Timbalan Pengerusi BN Selangor berkata,  kerajaan negeri menerima kira-kira RM500 juta setahun di bawah Marris kerana peruntukannya adalah pembayaran wajib di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memperincikan dengan menyebut Kerajaan Selangor menerima sejumlah RM416,971,395 pada 2012; RM498,033,994 (2013);RM523,486,773 (2014); RM468,774,527 (2015), RM496,900,998 (2016) dan; RM546,591,098 (2017).

Beliau berkata orang ramai harus bimbang tentang di mana RM2.95 bilion telah digunakan kerana tiada rekod.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mesti menjelaskan kepada dewan tentang keberadaan peruntukan dan mengapa ia tidak dapat dilihat dalam dokumen rasmi negeri.

Mat Nadzari berkata isu ini juga menimbulkan persoalan sama ada belanjawan negeri dari 2012 hingga 2017 melanggar Seksyen 14 dan 15 Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai rekod pada Julai lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerajaan Selangor tidak menambah baik kemudahan jalan negeri di bawah Marris selepas menerima peruntukan lebih RM200 juta daripada kerajaan pusat.

“Digunakan untuk (tujuan) lain atau masuk dalam kantung khazanah negeri. Tapi jalan-jalan lebih teruk lagi pembangunan tiada yang baharu.

“(Beri) bonus 2 bulan kepada kakitangan kerajaan (negeri). Kita ada 1.6 juta kakitangan di seluruh negara… mereka ada tidak lebih daripada 27,000 orang,” ujar Ahmad Zahid seperti dilaporkan.

5.0
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 3.7