Malaysia Dateline

RM223juta belanja selenggara lebih 50 skim perumahan di Pulau Pinang

Sejak menerajui kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 lagi, pelbagai dokongan diberikan oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Malah kerajaan negeri telah pun membelanjakan sejumlah RM232,419,480.25 bagi menampung kos penyelenggaraan lebih dari 50 skim perumahan sejak menerajui kepimpinan 11 tahun yang lalu.

Ia bukan sahaja merangkumi penyelenggaraan skim perumahan awam, tetapi juga perumahan swasta yang layak serta skim perumahan yang berada dibawah seliaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan di sebelah Pulau dan juga Seberang Perai.

Menurut Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, sejumlah lebih RM178 juta telah dibelanjakan sejak 2008 sehinggalah September tahun ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan skim perumahan awam.

“Untuk perumahan awam yang berada dibawah seliaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan di Pulau dan Seberang Perai lebih RM21 juta telah pun dibelanjakan.

“Manakala bagi perumahan swasta yang layak pula sejumlah lebih RM32 juta telah turut dibelanjakan melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai TPM80PP.

“Selain itu kerajaan negeri juga akan terus memberi perhatian terhadap keperluan rakyat dengan sebaik mungkin agar mereka dapat hidup dalam sejahtera dan harmoni, ” ujarnya ketika hadir dalam majlis penyerahan kerja-kerja menaik taraf lanskap di kawasan perumahan Mak Mandin Satu, Butterworth semalam.

Katanya lagi, penyerahan ini dilakukan setelah kerja-kerja menaik taraf lanskap dan taman permainan kanak-kanak yang menelan kos sejumlah hampir RM200 ribu siap sepenuhnya pada bulan lalu.

Sehubungan itu tegasnya, kerajaan negeri mempunyai misi dan visi bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang memberi keutamaan terhadap kekeluargaan hijau serta pintar.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Adun Bagan Jermal merangkap exco kerajaan negeri, Soon Lip Chee serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Sr.Rozali Mohamud.