RM274.8  juta peruntukan  bagi program bantu  golongan miskin tegar tahun ini

RM274.8 juta peruntukan bagi program bantu golongan miskin tegar tahun ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak RM274.8 juta diperuntukan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) bagi membina 3,055 rumah baru dan membaik pulih 8,168 rumah tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata program itu menyasarkan pemberian bantuan kepada golongan miskin tegar dan miskin di luar bandar.

“Pelaksanaan bantuan itu dibiayai dalam bentuk geran kepada kumpulan sasar di mana penerima tidak perlu membayar balik pembiayaan berkenaan.

“Adalah diharapkan pelaksanaan PBR itu akan meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar dengan penyediaan kediaman yang selamat dan selesa,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) yang ingin tahu langkah kementerian membantu daripada segi pemilikan dan pembaikan rumah penduduk luar bandar.

Menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah yang mahu kerajaan melihat kembali syarat menyertai PBR supaya lebih ramai penduduk luar bandar dapat memiliki rumah, Ahmad Jazlan berkata kerajaan memahami kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Kalau boleh anggota Parlimen sendiri boleh mencadangkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) pada masa akan datang supaya takrif kemiskinan itu kita naikkan jumlah pendapatan isi rumah.

“Kita faham dengan pendapatan isi rumah ketika ini. Jadi sudah sampai masanya dikaji semula dengan kos sara hidup yang meningkat,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata kementerian berkenaan akan mengemukakan cadangan kepada ICU untuk menambah keluasan rumah PBR untuk keselesaan penduduk.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus-PAS) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperluaskan saiz rumah yang dibina di bawah program itu pada masa akan datang untuk keselesaan penerima yang mempunyai anggota keluarga besar.

 

TAGS