Malaysia Dateline

RM3.3 juta dibelanjakan bagi program kebajikan, kemakmuran di Pulai

Sejumlah RM3.3 juta peruntukan telah dibelanjakan untuk kawasan Parlimen Pulai, Johor bagi pelbagai program kebajikan dan kemakmuran penduduk kawasan itu sejak Mei 2018 hingga Disember lepas.

Berdasarkan kad laporan Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, peruntukan itu diagihkan kepada lima cabang iaitu Projek Mesra Rakyat; Pembangunan Komuniti; Pembangunan Belia dan Wanita; Pendidikan; dan Kebajikan.

Peruntukan tertinggi sebanyak RM1.7 juta untuk Projek Mesra Rakyat bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur untuk keselesaan penduduk di situ.

Antara projek yang dijalankan adalah membaik pulih infrastruktur awam di Pejabat Balai Polis Tampoi, kerja-kerja membekal keperluan di Hospital Sultanah Aminah, dan membekal peralatan komputer, pencetak, dan projektor LCD bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Yahya Awal.

Selain itu, sebanyak RM782,279.35 pula disalurkan untuk program kebajikan bagi menyediakan pelbagai bantuan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan seperti pemberian bantuan dan sumbangan bencana, program beli baju raya untuk anak-anak asnaf, majlis ibadah Korban dan program bersama ibu tunggal dan anak yatim.

Bagi program pendidikan pula, sumbangan RM115,900 telah diberikan kepada 15 buah sekolah bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan yang berkualiti.

Sementara itu bagi Pembangunan Komuniti dan, Pembangunan Belia dan Wanita, masing-masing diperuntukkan RM424,400 dan RM312,000 untuk meningkatkan kemakmuran komuniti.

“Kualiti perkhidmatan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai akan ditingkatkan bagi memastikan isu rakyat terus diberi perhatian. Pelbagai usaha akan dilakukan pada tahun 2020 untuk kemakmuran bersama,” kata Salahuddin dalam kad laporan itu.

— BERNAMA