RM3 juta bagi pembaikan sekolah bantuan penuh kerajaan di Pulau Pinang

RM3 juta bagi pembaikan sekolah bantuan penuh kerajaan di Pulau Pinang

Sebanyak RM3 juta peruntukan disediakan kepada sekolah bantuan penuh kerajaan di Pulau Pinang bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P. Ramasamy.

Beliau berkata peruntukan itu sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), dan turut ditubuhkan Jawatankuasa Khas Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan yang akan bermesyuarat empat kali setahun, bagi melihat keperluan tersebut.

Penyaluran peruntukan tahunan ini secara one-off dan dicadang untuk disediakan kepada sekolah bantuan penuh kerajaan di Pulau Pinang untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur terutamanya sekolah-sekolah berada di tahap kritikal.

Kerja-kerja perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi mengelak kerosakan lebih teruk atau melibatkan keselamatan pengguna, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ramasamy berkata penyaluran peruntukan itu akan dilaksanakan melalui pendekatan dari bawah ke atas serta berdasarkan keperluan dan permintaan daripada sekolah bantuan penuh kerajaan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) serta selari dengan perancangan dan pembangunan sekolah.

JPNPP akan mendapatkan cadangan permohonan berdasarkan permintaan dan perancangan pembangunan sekolah bantuan penuh kerajaan yang memerlukan peruntukan bagi pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur di sekolah, katanya.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu memutuskan untuk mengehadkan bantuan sebanyak RM20,000 sahaja bagi setiap sekolah dan akan menggunakan budi bicara bagi permohonan daripada sekolah-sekolah yang berada di tahap kritikal dan memerlukan peruntukan melebihi RM20,000.

Sementara itu Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Jamil Mohamed berkata Pulau Pinang bertuah kerana ia merupakan satu-satunya negeri yang menerima peruntukan tersebut daripada Kementerian Pendidikan.

Hanya Pulau Pinang mendapat peruntukan ini daripada Kementerian Pendidikan. Bantuan berkenaan akan disalurkan ke sekolah-sekolah dan dijangka 200 sekolah rendah dan menengah bantuan kerajaan di negeri ini akan mendapat manfaat ini, katanya.

— BERNAMA