Malaysia Dateline

RM35 juta mungkin dah boleh buat lebih 6 buah masjid, kata DAP

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempertikaikan kewajaran kerajaan membelanjakan lebih RM35 juta hanya untuk membina tiga buah dewan di Pagoh, terutama dalam keadaan negara dilanda gelombang ketiga wabak Covid-19.

Beliau berkata, wang berkenaan jika dibandingkan dengan kos pembangunan Masjid, kerajaan sudah boleh membina lebih enam buah Masjid dalam negara.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, sebagai contoh adalah pembangunan Masjid di Bandar Baru Kampar, Perak yang hanya berjumlah RM1.9 juta dengan kapasiti mampu memuatkan sehingga 500 orang jemaah.

Justeru beliau menegaskan agar kerajaan mengurangkan segala projek yang tidak penting dan memfokuskan segala usaha agar lebih ramai kelompok yang akan menerima suntikan vaksin virus berkenaan.

“Dengan kemerosotan ekonomi semasa yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, kerajaan seharusnya berhati-hati dalam membelanjakan dana awam.

“Dewan komuniti sering dibiarkan kosong dan tidak digunakan secara kerap. Ini bukan kaedah yang produktif untuk menggunakan dana awam, terutama pada masa krisis kesihatan global.

“Maka tidak salah untuk sesiapa pun yang mempersoalkan kebiasaan perbelanjaan Perdana Menteri, kerana wang itu berasal dari dana awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, PMO dalam kenyataannya berkata, jumlah peruntukan sebanyak RM35.43 juta adalah untuk membina tiga buah dewan, bukan sebuah, dan perolehan projek dibuat mengikut tatacara secara tender yang diluluskan Kementerian Kewangan.

Peruntukan pembangunan tersebut antaranya di Gersik, Tangkak (RM13 juta), Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) and Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).

Sementara itu Lim menggesa agar agensi-agensi kerajaan dan bahagian penguatkuasaan yang berkaitan, segeramenyiasat dan menghapuskan keraguan mengenai ketiga-tiga projek tersebut terutama berhubung kaedah perolehan tender berkenaan.