RM350,000 bina semula projek IKS terbengkalai di Segamat

RM350,000  bina semula projek IKS terbengkalai di Segamat

Sebanyak RM350,000 peruntukkan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Johor untuk membina semula projek tapak Industri Kecil Sederhana (IKS) di Taman Tan Leng Ann Segamat, Johor.

Projek tersebut yang dibina pada tahun 2016 terbengkalai kini akan dibangunkan sesuai dengan permintaan warga setempat.

Suaiman Md Nor

Menurut Adun Kemelah, Sulaiman Mohd Nor berkata, tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan amatlah proaktif bagi membantu usahawan kecil khususnya mereka yang tinggal di kawasan pendalaman seperti Segamat.

“Terdapat orang kampung yang mempunyai produk mereka tersendiri dan sekiranya ada ruang untuk mereka berniaga adalah suatu perkara yang baik.

“Sebelum ini kerajaan terdahulu telah mengusahakan tapak atau ruang tempat perniagaan tersebut namun terbengkalai dan tindakan kerajaan untuk membina semula projek ini amatlah disambut baik.

“Tindakan kerajaan ini sebagai tanda prihatin terhadap nasib penduduk di sekitar Segamat yang ingin mencuba nasib mereka dalam bidang perniagaan,” ujarnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan bahawa tapak IKS tersebut mampu menyasarkan peniaga-peniaga sekitar Dun Kemelah dan Segamat.

Beliau turut akan memantau berkenaan projek berkenaan selain memastikan peruntukkan yang disalurkan oleh kerajaan dapat digunakan secukupnya untuk pembinaan projek tersebut.

“Kita akan memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar sesuai dengan kehendak masyarakat di sekitar Segamat ini.

“Kita juga akan berbincang dengan pihak kerajaan untuk menyegerakan peruntukkan tersebut agar peniaga-peniaga tidak tunggu lama kerana sebelum ini harapan mereka telah punah apabila projek tersebut terbengkalai,” ujarnya lagi.