Malaysia Dateline

RM385,000 selenggara lif, penduduk tidak perlu keluar duit

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer memberitahu sebanyak RM385,000 disumbangkan kepada Pengurusan Taman Seri Hijau di Jalan Van Praagh, Batu Lanchang untuk memperbaiki dan menyelenggara lima unit lif.

Menurutnya, 80 peratus iaitu RM305,000 daripada dana tersebut akan diberikan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Selebihnya lagi iaituRM77,000, kata beliau, dibayar oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelutong walaupun sepatutnya perlu dilunaskan oleh penduduk Taman Seri Hijau.

“Demi rakyat kita terus berkhidmat,” tulis Rayer ringkas di Facebook rasmi beliau.

Wakil rakyat DAP itu berkata demikian selepas menghadiri sidang media pagi semalam bersama Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Dalam sidang media itu, Jagdeep yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar negeri mengumumkan bantuan kerajaan negeri sebanyak RM385,000 untuk tujuan selenggara lif tersebut.

Antara blok yang terlibat dengan kerja-kerja penyelenggaraan itu merangkumi blok 48, 50 dan 52.

Selain Rayer, hadir sama dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ketua Pegawai Bisnes Lembaga perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar serta Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.