Malaysia Dateline

RM3juta peruntukan bina empat jeti baru di Tanjung Piai, kata Faiz

Golongan nelayan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pekan Nanas mungkin boleh menghela  nafas  lega kerana kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan  Malaysia (LKIM) telahpun meluluskan peruntukan RM3juta untuk membina empat jeti di Tanjung Piai.

Tiga jeti yang akan dibina itu adalah di Kampung Pengkalan Hulu, Kampung  Sungai Boh dan Kampung Jeram Batu. Manakala sebuah lagi jeti di Kampung Air Masin sudah siap dibina dengan kos RM200,000.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, semua jeti berkenaan adalah  peruntukkan yang diluluskan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mana LKIM adalah antara agensi di  bawah kementerian itu.

Justeru katanya kerajaan melalui kementerian dan agensi dibawahnya sangat  perihatin mengenai keperluan kebajikan  para nelayan dan petani.

“Kementerian telah meluluskan RM3juta peruntukan dengan keperluan untuk membina empat jeti nelayan di Tanjung Piai.

” Kita menumpukan kepada meningkatkan sara hidup nelayan antaranya kita juga memberi bantuan kepada penternak ikan sangkar,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Jelas Faiz lagi, terdapat 18 jeti dan pangkalan di Tanjung Piai melibatkan seramai 1.198 nelayan dan to5 vesel yang terletak di kawasan Jeram Batu Rambah.

Manakala akuakultur pula sebanyak 113 orang penternak direkodkan di kawasan Pekan Nanas dan Kukup dengan keluasan hampir 100 hektar.

Ditanya mengenai calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)  Tanjung Piai, Faiz yang juga Timbalan Pemuda AMANAH berkata, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung  Piai, Karmaine Sardini sangat sesuai dipilih sebagai calon PH.

Bahkan beliau optimis PH akan dapat mengekalkan kerusi di Tanjung Piai  walaupun beliau berkeyakinan, majoriti undi akan berkurangan kerana PRK  kali ini berlaku pertandingan 6 penjuru.

SPR hari ini mengumumkan PRK 165 Parlimen Tanjung Piai akan menyaksikan pertandingan 6 penjuru membabitkan calon calon PH Karmaine Sarbini; Wee Jeck Seng (BN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa);S. Wendy Subramaniam (Gerakan) dna dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghafar.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang juga berkata, walaupun BN memainkan isu manifesto dan janji PH yang ‘gagal’  beliau yakin pengundi akan mendapat maklumat tepat dan betul  dalam kempen 21 hari ini, bahawa PH dalam usaha untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit terutama mengenai manifesto dan ekonomi rakyat.

“Sekiranya calon BN tewas ini menunjukkan bekas ahli parlimen BN itu (Wee Jeck Seng)  tidak lagi diterima oleh pengundi. BN bukan alternatif kepada rakyat di Tanjung Piai kerana skandal-skandal korupsi pemimpin mereka yang masih disiasat serta kerjasama dengan Pas memberi kesan kepada pengundi di sini.

“Sedangkan kita (PH) sedang ‘deliver’ janji-janji manifesto kepada rakyat. Ini kerana ada janji yang masih dalam kajian kerajaan sebelum janji-janji itu dikotakan.

“Apa yang penting hari ini kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang tidak korup, tidak seperti BN yang menyebabkan dasar-dasar kerajaan BN  terdahulu gagal dilaksanakan kepada pengundi di Tanjung Piai,” ujarnya.