RM400 sebulan nak makan apa? soal Rafizi dedah derita rakyat

RM400 sebulan nak makan apa? soal Rafizi dedah derita rakyat

Kesan kepincangan ekonomi di bawah pentadbiran Najib Razak sejak menjadi Perdana Menteri mulai 2009 dilihat begitu memberi pukulan kepada majoriti rakyat bawahan seperti didedahkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Kesan kepincangan ekonomi di bawah pentadbiran Najib Razak sejak menjadi Perdana Menteri mulai 2009 dilihat begitu memberi pukulan kepada majoriti rakyat bawahan seperti didedahkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Berkongsi pengalamannya menemui rakyat di Kedah, Perak, Johor dan Negeri Sembilan sejak dua bulan lalu, beliau berkata, kesusahan rakyat pada masa ini menuntut perlunya Najib dan Rosmah Mansor diturunkan dari kuasa mereka pada kadar segera.

“Bila saya masuk berjumpa orang di pasar, ke kebun getah jumpa penoreh, bila lawat orang miskin di flat, satu flat dua bilik tiga keluarga duduk, bila kita duduk di belakang di mahkamah majistret kecil untuk dengar kes rakyat biasa, kita boleh kumpul keluhan, segala kesusahan rakyat,” ujarnya ketika berbahas di Kongres Rakyat 2016 Selamatkan Malaysia, semalam.

Katanya, ramai peniaga yang ditemuinya di pasar pagi di Kuala Ketil dalam kawasan parlimen Baling mengadu tentang kesan kenaikan mendadak harga bahan makanan akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak April tahun lalu itu.

“Semua orang komplen pasal GST. Sebab peniaga-peniaga kecil tidak boleh kutip balik GST. Mereka kena bayar, tidak boleh naikkan harga. Jadi bila jumpa saya, mereka cerita pasal GST. Saya pun ‘cucuk’ sikit, (kata) sebenarnya kalau ikut betul-betul, GST ini tidak naikkan harga barang.

“Marah dia (peniaga). ‘Siapa yang kata begitu?’. Ahmad Maslan yang kata. Berkarung-karung dia maki Umno,” ujarnya dalam majlis yang turut dihadiri bekas pemimpin dan penyokong Umno itu.

Getah pun tak mahu keluar

Dalam kunjungannya menemui penoreh getah di Lubuk Merbau yang terletak dalam Parlimen Padang Rengas bulan lalu, beliau mendedahkan keperitan golongan tersebut akibat kejatuhan harga getah sekerap.

“Dia (penoreh) cerita bagaimana nak hidup kerana harga getah sekarang satu kilogram RM1.80. Dia (menoreh secara) pawah. Sembilan puluh sen dia dapat sebagai penoreh, 90 sen lagi dia bagi kepada tuan tanah.

“Dia beritahu sejak Rosmah dan Najib jadi orang atas ini, getah pun tak nak keluar daripada batang pokok getah itu,” ujarnya disambut ketawa kira-kira 2,000 hadirin yang memadati dewan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu.

Kembali serius meneruskan ucapan, Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu berkata, hasil getah sekerap paling banyak mampu diperoleh dalam sehari adalah sebanyak 30 kilogram.

“Itupun bukan tiap-tiap hari dia dapat menoreh. Ada hujan, panas, macam-macam. Sebulan paling banyak dapat pun RM400.

“Saya nak tanya Datuk Seri Najib, RM400 sebulan dia nak makan apa? (Dandanan) Rambut Datin Seri Rosmah pun RM1,200. RM400 separuh rambut Rosmah pun tak dapat,” selorohnya.

Lebih enam bulan menanti caruman LTAT

Situasi kemiskinan rakyat luar bandar juga tidak terkecuali dialami penduduk di kawasan bandar termasuk golongan pesara seperti dilihat oleh Rafizi dalam lawatannya di Johor Bahru.

“Di Flat Sri Stulang di JB, jumpa beberapa pesara tentera. Ada cerita dah bersara enam bulan, dia di bawah skim yang tidak dapat pencen jadi dia mencarum melalui LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera).

“Dia sudah bersara enam bulan sepatutnya dapat duit dia. Dia dah kena jual kereta sebab nak makan, dia tiada (sumber pendapatan). Itu saja simpanan dia,” ujar Rafizi.

Sementara itu, kemarahan peniaga makanan ekoran kesuraman ekonomi di bawah Najib juga turut dilontar golongan terbabit di Ampangan, Negeri Sembilan.

“Semalam (Sabtu, 26 Mac) di Ampangan, pergi gerai-gerai tersangkut di satu gerai (roti canai). Dia (Peniaga) jumpa saya mula marah pasal subsidi gandum kena potong. Saya beritahu dia saya bukan kerajaan, bukan saya yang naikkan.

“Dia kata betul, saya maki YB, YB masuk Parlimen, YB maki Najib,” ujarnya diikuti ketawa para peserta kongres itu.

Rafizi memberitahu, peniaga roti canai berkenan berada dalam situasi serba-salah kerana pembeli tidak akan bersetuju jika harga makanan itu dinaikkan.

“Dia marah sebab dulu yang berniaga ini dia dapat subsidi bila beli gandum 20 kilogram, dulu RM35, sekarang naik RM10 jadi RM45. Kalau dia naik harga roti canai, orang marah dia,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, seseorang pemimpin dari mana-mana parti boleh menggunakan pendekatan berbeza untuk membangunkan negara kerana itu hak dan pandangan masing-masing.

“Kamu boleh buat apa saja idea (tapi) kamu jangan makan duit rakyat! Saya dah ulang banyak kali,” tegas Rafizi disambut sorakan dan tepukan orang ramai.

TAGS