Malaysia Dateline

RM5 juta bantu usahawan mikro, kecil dan sederhana P.Pinang

Kerajaan negeri Pulau Pinang menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana melalui Skim Pinjaman PKS PEKA 3.0.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, kerajaan negeri peka dan prihatin terhadap nasib usahawan khususnya sektor yang dikategorikan sebagai sektor ‘non essential’ yang terkesan teruk akibat PKP 3.0.

“Sektor ini sesetengahnya tidak dibenarkan beroperasi sehingga sekarang dan menyebabkan banyak yang terkesan sehingga ada yang ditutup dan tidak mampu untuk bangkit semula meneruskan perniagaan meskipun Covid-19 berakhir dan PKP ditamatkan.

” Sehubungan itu kerajaan negeri meluluskan skim pinjaman tersebut bernilai RM5 juta dengan keutamaan diberikan kepada golongan terbabit dengan jumlah pinjaman antara RM5, 000 hingga RM20, 000 bagi tempoh 30 bulan dengan moratorium untuk 6 bulan pertama,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Abdul Halim juga berkata permohonan Skim Peka 3.0 ini akan dibuka sebelum akhir September bulan ini dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang atau PDC sebagai urusetia.