Malaysia Dateline

RM500 ‘one off’ untuk lebih 5000 pesawah di Pulau Pinang

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang peduli terhadap masalah rakyat marhaen, lebih RM2 juta akan diberikan secara ‘one-off’ oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada lebih 5000 pesawah sebagai bantuan sara hidup mulai bulan Oktober 2022.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, bantuan tersebut diharapkan dapat meringankan beban pesawah padi setelah sekian lama menghadapi pelbagai masalah termasuklah peningkatan kos bahan input baja kimia dan agrokimia dan kesan pandemik Covid-19 serta cuaca yang tidak menentu. 

“Dengan pemberian bantuan sebanyak RM500 bagi setiap pesawah ia akan membantu meringankan beban seramai 5,262 pesawah dan seterusnya menggalakkan mereka untuk mengekalkan Pulau Pinang sebagai pengeluar padi tertinggi dalam negara. 

“Setakat ini statistik menunjukkan bahawa hasil purata pengeluaran padi Pulau Pinang melepasi purata kebangsaan sebanyak 4, 039 matriks tan sehektar dimana hasil pengeluaran padi negeri Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 5595 matriks tan sehektar pada musim 2021.

“Bagi tahun 2020 Pulau Pinang turut menunjukkan pencapaian ketiga tertinggi untuk tahun 2020 apabila ia menyumbangkan 61.44 peratus keperluan sara diri (SSL) di Pulau Pinang,” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi. 

Adalah difahamkan proses bantuan kewangan ‘one-off’ tersebut adalah kepada para pesawah yang berdaftar melalui Jabatan Pertanian. Manakala bantuan kewangan akan dibuat secara atas talian secepat mungkin.