Malaysia Dateline

RM551.6 juta Pakej Kita Selangor 2.0 manfaat 1.6 juta rakyat

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM551.6 juta di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 yang akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.

Beliau berkata, bagi tujuan kebajikan rakyat, kerajaan negeri akan memberikan moratorium kepada 40,000 usahawan HIJRAH, 1,300 pelajar graduan tahun 2021, 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor, 2,632 penyewa Rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa.

Katanya, menyedari bahawa akses kepada internet adalah nadi kelangsungan perniagaan dan pembelajaran, kerajaan negeri melancarkan program Data Internet Selangor yang mensasarkan subsidi kad SIM dengan kemudahan data internet tanpa had.

Ia disasarkan kepada 70,000 penerima yang terdiri daripada penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi gig.

Bagi menyemarakkan ekonomi negeri, kerajaan negeri menambah 200 juta dalam Selangor Advanced dan tambahan RM80 juta diperuntukkan kepada 8,000 usahawan dengan modal awalan untuk memulakan perniagaan.

“Sebagai usaha mengekang penularan wabak COVID-19, Kerajaan Negeri akan terus proaktif dengan melaksanakan ujian saringan Covid-19 komuniti fasa ketiga dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh negeri Selangor secara percuma.

“Selain itu, Inisiatif ‘Home Assessment Kit’ ataupun kit penilaian rumah akan disediakan bagi mereka yang telah dikesan positif melalui ujian saringan yang dilaksanakan.

“Kit ini akan mengandungi facemask KN95, thermometer, oximeter, ubat-ubatan dan kit ujian air liur (saliva test kit),”katanya dalam perutusan khasnya hari ini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan, bagi menggalakkan dan memudahcara penerima vaksin, kerajaan negeri akan menyediakan pemberian rebat sebanyak RM20 kepada hampir 50,000 individu dengan peruntukan RM1 juta.

Kerajaan negeri juga katanya, akan menyelaras bantuan pengangkutan bagi mereka yang berada jauh dari Pusat Pemberian Vaksin melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap DUN.

“Untuk mencapai herd immunity ataupun imuniti kelompok, serta sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sukacita saya mengumumkan Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) diperuntukkan RM200 juta untuk memperoleh vaksin supaya imuniti kelompok dapat dipercepatkan,” katanya lagi.