Malaysia Dateline

RM58 melayang sehari, sesak di KL merata berjam-jam gara-gara LRT ‘mogok’

Ada pengguna LRT yang melayang RM58 sehari malah terperangkap berjam-jam di jalan raya akibat sebahagian perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya ‘mogok’.

Sejak kelmarin lagi, LRT laluan itu bermasalah tetapi bermula hari ini, Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan bahawa 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi.

Penggantungan operasi selama tujuh hari itu membabitkan Stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asian Jaya,Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum dan KL Sentral.

Selain itu, Stesen LRT Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Ekoran itu, rata-rata pengguna LRT menyuarakan rasa tidak puas hati di media sosial dengan mutu perkhidmatan LRT terutama waktu puncak.

“Saya membelanjakan RM58 untuk Grab hari ini dan 2 jam dalam trafik kerana LRT Kelana Jaya tidak bertanggungjawab. Ia telah berlangsung selama 4 hari!” keluh pengguna Twitter, @__ssoraya.

Ramai warga kota sangat kecewa dengan kegagalan operasi LRT dengan terpaksa berhimpit dalam bas macam sardin.

Sehubungan itu, ada yang menuntut supaya pengurusan Rapid KL sedia ada ditukar sebagai menunjukkan rasa tanggungjawab organisasi.

“Dua jam setengah sangkut jem. Stesen LRT tutup awal. Harga Grab 800 kali ganda mahal. Tukarlah pengurusan yang lembab tu,” kata seorang pengguna LRT.

Dalam masa sama, pengguna yang telah membuat tambah nilai turut menyuarakan rasa terkilan kerana duit sudah banyak dihabiskan.

“Bayangkan yang dah topup siap-siap kad untuk bayar tambang tu. Kena cari duit lain pula nak buat tambang pergi kerja,” kata Myzatul Dalinna.

Baca juga Universitas Gadjah Mada kemukakan bukti, calon BN Pengkalan Chepa sah belum lulus pengajian, ijazah palsu

Baca juga Banner Hannah Yeoh dirosakkan, polis mohon parti politik kawal penyokong daripada buat provokasi