Malaysia Dateline

RM6.012 juta peruntukan selenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera

Dianggarkan RM6.012 Juta daripada jumlah Peruntukan Khas 2019 (RM50 Juta) diperuntukkan oleh Kementerian Pertahanan untuk kerja-kerja menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO), di Kuala Lumpur.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendapati sebanyak 9,744 unit RKAT ATM telah mengalami kerosakan dan tidak dapat diduduki lagi.

Justeru, Mohamad Sabu dalam lawatan kerjanya hari ini telah meninjau kawasan tersebut bagi melihat proses naik taraf dan penyelenggaraan yang dilaksanakan pada Jun lalu dan dijangka akan siap pada November kelak.

“Kementerian bersama ATM telah mengenal pasti unit-unit RKAT berkenaan dan dalam tindakan untuk memuktamadkan Blueprint Perumahan 2.0 yang merangkumi program Senggaraan dan Naik Taraf RKAT ATM.

“Pada masa ini sebanyak 1,474 unit dalam tindakan selenggaraan dan dinaik taraf di kem-kem tentera seluruh negara menggunakan Peruntukan Khas 2019 sebanyak
RM50 juta.

“Manakala sebanyak 8,270 unit lagi akan diselenggara dan dinaik taraf secara berperingkat melibatkan tempoh pelaksanaan selama 10 tahun iaitu bermula 2020 sehingga 2030,” katanya.

Taklimat ringkas mengenai perkembangan projek telah disampaikan oleh Kolonel Zulkifli Hj Ahmad, Pegawai Memerintah 94 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan
Angkatan Tentera (BPKP).

Turut serta dalam lawatan berkenaan, Brigadier Jeneral IR Anhar Anuar, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP).

Tambah kenyataan itu, projek-projek senggaraan tersebut melibatkan 134 unit RKAT kelas E, F dan G yang telah bermula pada bulan Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019.

Katanya, BPKP Markas ATM telah dilantik sebagai agensi pelaksana manakala UPKAT ditugaskan untuk memantau dan menentukan projek ini dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kementerian Pertahanan amat perihatin terhadap aspek kebajikan seluruh warga ATM dengan memastikan RKAT ATM bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan mempunyai kediaman yang lebih kondusif dan selesa buat warga dan keluarga mereka,” ujarnya.