Malaysia Dateline

RM600 juta Kerajaan Persekutuan salur bantuan bangunkan Mersing, kata Exco

Sebanyak RM600 juta kos yang akan dibelanjakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan kawasan Mersing yang membabitkan Kampung Sri Lumpur dalam Cadangan Projek Strategik.

Menurut Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, kos projek pembangunan tersebut adalah melibatkan pembinaan tembok pemecah ombak, tambakan pantai dan pembinaan terminal jeti penumpang serta kargo.

Menurut beliau lagi, ia adalah pembangunan yang berstruktur bagi membantu nelayan kerana sebelum ini terdapat permasalahan nelayan di kawasan Sungai Mersing untuk ke laut.

“Kos tambakan yang dibuat sekarang melibatkan sebanyak RM20 juta dalam jangka masa 2 tahun sekali.

“Ia disebabkan ombak yang melalui kuala Sungai Mersing membawa pasir sehingga membuatkan keadaan kuala tersebut menjadi cetek dan ia akan menyebabkan bot-bot nelayan tidak boleh keluar ke laut.

“Selain itu pengstrukturan kawasan berkenaan adalah untuk dimajukan bagi memudahkan orang tempatan seperti penduduk Mersing mendapat keuntungan dari pengstrukturan tersebut,” ujarnya ketika ditemui di pejabat beliau.

Dalam pada itu, menurut beliau kawasan projek pembangunan tersebut melibatkan kawasan seluas 200 ekar di atas laut Mersing.

Katanya lagi, Cadangan Projek Strategik ini turut melibatkan pembangunan yang menyeluruh di kawasan persisir pantai Mersing terutamanya di kawasan Kampung Sri Lumpur.

“Kerajaan mahu membangunkan tempat tersebut sebagai pusat pelancongan dan ia memberi manfaat kepada penduduk serta sekitarnya untuk meningkat ekonomi mereka.

“Dalam pada masa yang sama, kerajaan juga akan menyenaraikan tempat tersebut sebagai destinasi pelancongan di negeri ini serta mempromosikan tempat berkenaan.

“Hajat kerajaan adalah baik, yakni untuk membantu ekonomi penduduk Mersing dan sekaligus menjadikan Mersing sebagai tempat atau destinasi yang ‘wajib singgah’ di negeri ini,” ujarnya lagi.