Malaysia Dateline

RM67 juta untuk naik taraf Stadium Negeri Pulau Pinang

Chow (empat dari kanan) bersama pimpinan agensi terlibat di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.

Sejumlah RM67 juta dianggarkan masih diperlukan oleh Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang bagi kerja-kerja penarafan infrastruktur Stadium Negeri Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Menurut Chow lagi, Perbadanan tersebut telah pun membuat permohonan bagi mendapatkan peruntukan Persekutuan dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri.

Walau bagaimanapun jelasnya, adalah menjadi harapan yang amat besar agar permohonan bagi mendapatkan peruntukan tersebut dapat diluluskan kerana ia merupakan beberapa keperluan mendesak bagi manfaat rakyat negeri ini.

“Dibawah perbadanan ini ia juga termasuk beberapa aset lain seperti Kompleks Renang Seberang Jaya dan Kompleks Sony serta Kompleks Sukan Balik Pulau.

“Dewan Millenium Kepala Batas serta beberapa taman rekreasi yang lain juga turut diletakkan di bawah pengawasan Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang.

“Perbadanan setakat ini telah pun mengorak langkah dengan memulakan beberapa projek seperti mewujudkan sebuah taman kejiranan diLebuh Sungai Pinang Tujuh dengan kos RM1.6 juta,” tegasnya yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang.

Sehubungan itu tambah Chow, penubuhan perbadanan sedemikian telah berjaya direalisasikan mengikut Enakmen Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang.