Malaysia Dateline

RM70 juta JKJAV: Rakyat berhak tahu ke mana kerajaan belanjakan wang negara

Bertindak menahan individu kerana mempersoalkan peruntukan RM70 juta untuk Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid (JKJAV) adalah tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Ketua Cabang Keadilan Pendang Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata, sebagai rakyat Malaysia, rakyat berhak untuk mengetahui ke mana kerajaan membelanjakan duit negara.

“Inilah akibatnya apabila Parlimen ditutup di mana rakyat tiada peluang untuk mengetahui sama ada kesemua libat urus kerajaan telus atau sebaliknya,” kata beliau.

Katanya, semua wakil rakyat dibayar gaji untuk memastikan setiap tindak tanduk kerajaan itu telus dan tidak berlaku penyelewengan.

“Namun, kerajaan hari ini bertindak melumpuhkan demokrasi negara dengan menutup parlimen atas alasan darurat,” ujarnya.

Menteri yang bertanggungjawab, Khairy Jamaluddin katanya harus tampil untuk menjelaskan butiran kemana peruntukan sebanyak RM70 juta dibelanjakan dan mengapa masih terdapat kegagalan dalam laman web JKJAV.

Katanya, Khairy juga perlu mendedahkan penerima kontrak yang membangunkan laman web JKJAV supaya dapat menjawab kekeliruan yang timbul dalam kalangan rakyat.

“Jangan terus mengingatkan rakyat untuk menggunakan saluran yang betul sekiranya Parlimen yang sememangnya berfungsi sebagai medium untuk semak imbang telah pun ditutup,” katanya.

5 Jun baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang jurujual peralatan komputer di Kota Damansara, Petaling Jaya susulan ciapan di Twitter yang dipercayai dimuat naiknya mengenai peruntukan kerajaan membangunkan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Suspek berusia 36 tahun, pemilik akaun Twitter [email protected] ditahan sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 JSJ Bukit Aman pada jam 12.05 tengah malam.

Polis turut merampas satu telefon bimbit, router dan modem yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini.

Suspek kemudian telah direman satu hari untuk siasatan Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Jika disabitkan salah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.