RM8 bilion untuk Institusi Bumiputera bantu kurangkan ketidaksamaan pendapatan

RM8 bilion untuk Institusi Bumiputera bantu kurangkan ketidaksamaan pendapatan

Inisiatif kerajaan untuk meningkatkan peruntukan untuk pembangunan ekonomi Bumiputera adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2030 yang menumpukan kepada peningkatan kuasa beli rakyat serta mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan jurang perbezaan wilayah.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Mohd Azraai Kassim berkata oleh kerana pendapatan isi rumah di kalangan masyarakat Bumiputera masih rendah berbanding kumpulan etnik lain, peningkatan jumlah peruntukan dapat meningkatkan penyertaan ekonomi majoriti etnik.

“Tinjauan Ekonomi 2020 melaporkan bahawa graduan Bumiputera mengalami kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai kerana beberapa faktor, termasuk kemahiran interpersonal yang lemah dan kurang kemahiran berbahasa Inggeris.

“Dalam pada itu, terdapat ketidakserasian antara kemahiran yang diperlukan oleh industri dan kelayakan yang diperolehi oleh graduan Bumiputera. Pada masa yang sama, penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan mahir dan profesional di peringkat membuat keputusan dan pengurusan masih rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini .

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 hari ini berkata kerajaan telah menambah peruntukan untuk membantu institusi dan usahawan Bumiputera daripada RM7.6 bilion dalam Belanjawan 2019 kepada RM8 bilion dalam Belanjawan 2020.

Menurut Mohd Azraai, memandangkan senario semasa dihadapi masyarakat Bumiputera, kerajaan mengambil langkah yang betul dengan memperuntukkan dana besar kepada institusi pendidikan Bumiputera utama seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), UiTM dan Yayasan Peneraju.

“Peningkatan peruntukan untuk UiTM dapat meningkatkan program berkaitan pendidikan sains dan teknologi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 dan 5.0.

“Ini seterusnya akan memastikan pembangunan modal insan melalui penawaran program yang disesuaikan dengan keperluan industri, lebih banyak sumber untuk UiTM bermakna lebih banyak kerjasama antara Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta universiti dari segi menjalankan penyelidikan bersama mengenai teknologi, dan inovasi produk. Langkah ini dapat membantu meningkatkan penggunaan teknologi di kalangan PKS, ” katanya.

Mohd Azraai kemudian berkata dana tambahan untuk membantu PKS dan usahawan Bumiputera boleh merangsang lebih banyak projek perniagaan yang memastikan perniagaan kekal mapan di tengah ketidakpastian ekonomi global.

“Peluang yang diberikan kepada kontraktor untuk memperoleh sekurang-kurangnya 30 peratus daripada tender menteri memberi galakan kepada mereka untuk membuktikan nilai mereka dan meningkatkan daya saing bagi mendapatkan agihan tersebut.

“Semua ini akan membawa kepada kesan berganda dalam ekonomi. Bukan sahaja perniagaan Bumiputera kekal mapan, lebih banyak perbelanjaan pelaburan akan dihasilkan dan lebih banyak pekerjaan dijana daripada peningkatan aktiviti perniagaan yang meghasilkan lebih banyak perbelanjaan penggunaan dan peningkatan KDNK dari kedua-dua komponen .

“Pendek kata, peningkatan peruntukan dana untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera daripada RM7.6 bilion pada 2019 kepada RM8 bilion pada tahun 2020 adalah dipuji,” katanya.