Malaysia Dateline

RM8 juta bina Klinik Pergigian di Daro

Bolhasan Jol

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia memperuntukan sebanyak RM8 juta bagi membina sebuah Klinik Pergigian di Daerah Kecil Daro, Sibu.

Menurut Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Daro Bolhasan Jol, projek pembinaan klinik berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, dengan siapnya klinik itu nanti akan dapat memberi kemudahan kepada masyarakat dan penduduk di sekitar Daerah Matu, Daro dan Pulau Bruit.

“Kami sebagai penduduk di sini merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan (PH) yang bekerja keras dalam menyediakan fasiliti kesihatan yang menyeluruh dan terbaik untuk rakyat di Daro, Matu dan Pulau Bruit.

“Dengan kemudahan seperti ini, penduduk tidak perlu menempuhi perjalanan yang jauh iaitu kira-kira dua jam setengah untuk mendapatkan rawatan di Bandar Sibu, Mukah atau Sarikei,” ujarnya ketika ditemui di Kuching hari ini.

Bolhasan menambah, rata-rata penduduk setempat yang merupakan nelayan dan petani sebagai mata pencarian utama melahirkan rasa teruja dengan pembinaan klinik tersebut di kawasan mereka.

Katanya lagi, faktor geografi dan perbezaan politik haruslah diketepikan dalam urusan kesihatan kerana ia adalah hak asasi yang harus dinikmati oleh rakyat keseluruhannya di negeri ini.

“Sebenarnya sudah lama kami dan penduduk di kawasan ini mengharapkan agar sebuah klinik pergigian di bina di sini.

“Sebagai rakyat di negeri ini, ia adalah hak penduduk untuk mendapatkan urusan kesihatan tanpa memikirkan soal politik dan geografi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Bolhasan turut memaklumkan sebuah lagi Klinik Kesihatan yang baharu bakal didirikan di Daro nanti.

“Setakat ini, tapak sudah dikenalpasti dan dalam proses urusan pembukaan tender. Semoga dengan adanya klinik kesihatan baharu itu nanti akan memudahkan lagi masyarakat dan penduduk setempat mendapatkan rawatan,” tegas beliau.