Malaysia Dateline

RM9.8 bilion untuk Belanjawan Negeri Sarawak 2020

Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan keseluruhannya sebanyak RM9.891 bilion bagi Belanjawan Negeri 2020.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, daripada jumlah berkenaan RM6.597 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan manakala sejumlah RM3.294 bilion bagi perbelanjaan operasi.

Katanya, Belanjawan 2020 bakal menekankan enam strategik utama untuk merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan insklusif, mampan dan saksama bagi semua lapisan masyarakat di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan terus mengambil berat pembangunan di luar bandar sejajar dengan inisiatif kerajaan negeri mentransformasikan kawasan luar bandar dan memastikan tidak ada rakyat negeri ini ketinggalan menikmati usaha murni itu.

“Dalam Belanjawan Pembangunan 2020 ini kerajaan negeri akan terus menitik-beratkan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Bagi tujuan itu,sebanyak RM4.141 bilion atau 63 peratus daripada perbelanjaan pembangunan diperuntukkan untuk membangunkan kawasan luar bandar negeri ini,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak di Kuching hari ini.

Belanjawan 2020 itu adalah bertemakan ‘mempercepatkan pembangunan untuk kesejahteraan semua rakyat Sarawak’.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak bermula hari ini sehingga 13 November nanti.

Pada Belanjawan Sarawak 2019 lalu, kerajan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM11.91 bilion.