Malaysia Dateline

RM939.57juta diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan air Kedah

Kerajaan Negeri Kedah komited untuk menyediakan pembangunan kemudahan bekalan air terawat yang mencukupi, selamat dan bersih kepada penduduk negeri Kedah.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika penggulungan bajet Kedah 2020 bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Sidang Dun Negeri Kedah kali ke 14 semalam.
Jelas beliau, sehubungan itu sejumlah RM939.57 juta telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf Loji Rawatan Air Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama.
“Kerajaan mengakui berlaku kelewatan dalam pelaksanaan disebabkan oleh perubahan polisi pembiayaan projek, daripada pinjaman kepada pembiayaan secara geran serta perubahan skop projek.
“Pada masa ini persediaan untuk pengambilan balik tanah dan proses tender sedang diuruskan.
” Usaha juga sedang dibuat untuk menyediakan bekalan air mentah yang mencukupi bagi daerah Langkawi, ” ujarnya.
Beliau juga berkata, pada tahun 2020 kerajaan akan melaksanakan Projek Peningkatan Sistem Pengepaman di Padang Mat Sirat yang bernilai sebanyak RM8 juta.
Tegasnya, Pembangunan Skim Pemindahan Air Jeniang Kedah atau ‘Jeniang Transfer’ fasa pertama juga sedang giat dilaksanakan.
“Projek ini dijangka siap mengikut jadual pada pertengahan tahun hadapan.
” ‘Jeniang Transfer’ melibatkan daerah Sik, Pendang dan Kuala Muda dengan kos pembangunan sebanyak RM960 juta oleh Kerajaan Persekutuan.
“Projek ini juga dijangka akan memberi manfaat kepada 18,000 petani apabila ianya siap kelak, ” kata beliau.