Malaysia Dateline

RMK-12 dan cabaran elak Malaysia jadi negara kleptokrasi, kakistokrasi

Semasa Perdana Menteri Ismail Sabri membaca ucapan Rancangan Malaysia Ke-12 beliau secara kaku daripada mesin teleprompter beliau di Parlimen semalam, saya tidak dapat mengelak daripada memerhatikan gelagat dua orang mantan Perdana Menteri, seorang yang pernah membentangkan dua RMK di Parlimen dan seorang lagi yang pastinya merasakan beliaulah yang sepatutnya menyampaikan ucapan pelancaran RMK-12 semalam jika beliau tidak disabotaj oleh rakan-rakan politik beliau sebulan yang lepas.

Mereka duduk di barisan yang sama, dipisahkan dengan satu tempat duduk — tetapi tidak ada sebarang hubungan atau interaksi di antara keduanya dan bagi beliau, mantan Perdana Menteri yang seorang lagi itu seperti berada di negara asing.

Mantan Perdana Menteri yang telah membentangkan lima RMK di antara tahun 1981 sehingga tahun 2001 pula tidak ada di Dewan. Jika tidak, pastinya menarik untuk meneka apa yang sedang berlegar dalam fikiran beliau semasa ucapan pelancaran Ismail Sabri.

Terdapat juga seorang lagi Ahli Parlimen yang sepatutnya membentangkan RMK-12 ini tetapi terhalang akibat berlakunya Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, yang menafikan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan membawa masuk Malaysia ke dalam era kerajaan pintu belakang yang tidak sah, yang menggunakan pelbagai helah untuk terus kekal berkuasa, termasuklah dengan mengumumkan darurat yang mencabuli perlembagaan.

Adakah peluang untuk beliau menjadi Perdana Menteri akan tercapai dalam Pilihan Raya Umum ke-15, baik pada tahun 2022 atau 2023?

Apa-apa pun, Malaysia kini berada dalam suatu landskap politik baharu hasil daripada persetujuan memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi yang dimeterai di antara Perdana Menteri, Ismail Sabri, dan pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, dan Wifred Madius Tangau pada 10 September lalu.

MoU ittu bagi membolehkan semua Ahli-ahli Parlimen menumpukan segala usaha untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 yang telah menjangkiti lebih daripada dua juta orang di negara kita dan mengorbankan lebih daripada 25,000 nyawa, dan juga untuk membolehkan kita menetapkan reformasi institusi dan parlimen untuk membuka jalan kepada pemulihan ekonomi dan kehidupan sosial dalam negara.

Malaysia berhadapan dengan cabaran baharu dengan pelancaran Rancangan Malaysia ke-12 semalam.

Bolehkah kita kembali semula untuk mengatasi semua kemunduran dan bencana yang dihadapi sebelum ini atau adakah kita akan berakhir sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal, seperti pengendalian wabak Covid-19 kita yang dilihat sebagai salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia?

*LIM KIT SIANG merupakan Ahli Parlimen DAP Iskandar.