Malaysia Dateline

RMK11: Reformasi kerajaan dilandasan tepat

ULASAN: Parti AMANAH Negara Wilayah Persekutuan (AMANAH WP) berharap kepimpinan negara yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus berani dalam mereformasikan negara bagi mencapai visi Malaysia sebagai negara maju dan inklusif.

Perubahan ini pastinya diharapkan dan diimpikan rakyat setelah negara gagal membawa sebarang perubahan besar sejak lebih 60 tahun lalu di bawah rejim Umno-BN. Lebih menakutkan Umno-BN telah merendahkan kedudukan negara dengan krisis kepimpinan, rasuah dan ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan.

AMANAH WP merasa bersyukur dan bangga kerana kepimpinan negara tidak sedikitpun terganggu oleh kritikan dan tohmahan pelbagai pihak terutama golongan pembangkang.

Malah, kerajaan PH terus ke hadapan memberikan khidmat terbaik untuk rakyat termasuk membuat reformasi menyeluruh. AMANAH WP percaya langkah kerajaan mengumumkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) menjawab segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan bahawa kerajaan sekarang lemah, gagal menunaikan janji manifesto PRU ke 14, tiada pembaharuan dan sama sahaja dengan kerajaan BN, mengamalkan sikap pilih kasih, nepotisme dan lain-lain.

Kajian Separuh Penggal RMK11 yang dibentangkan dengan tujuan mereformasi dasar sedia ada dan menggaris sasaran sosioekonomi yang disemak semula bagi tempoh 2018-2020 serta mengambil kira aspirasi kerajaan baharu, cabaran ekonomi dan trend global semasa. Dalam laporan RMK 11 tersebut, PM telah menggariskan langkah mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mencapai pertumbuhan inklusif.

Antara pengumuman yang begitu mengujakan rakyat adalah menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang apa-apa portfolio lain. Langkah ini boleh mengurangkan budaya ‘gila atau tamakkan kuasa’ kepada mana-mana Perdana Menteri atau Menteri Besar. Selain itu, ia juga mampu mengekang amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa sebelum ini.

Pendekatan agresif kerajaan dalam mereformasi pentadbiran negara dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dilihat sebagai langkah yang tepat. Kesemua jabatan tersebut perlu diketuai oleh mereka yang benar-benar berkelayakan dan bebas dari pengaruh kuasa politik mana-mana pemimpin.

Selain itu, langkah tegas dan berkesan akan dilaksana untuk mempertingkatkan mekanisme semak dan imbang (“check and balance”) pada semua peringkat di mana sistem pentadbiran undang-undang akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diurus oleh dua individu yang berlainan.

Tambahan pula, kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkatkan dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. Sistem jawatankuasa pemilih (“select committee”) akan diwujudkan di mana jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM, SPR, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Manakala hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan pula akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme. Kerajaan negeri akan diperkasa melalui proses pengagihan kuasa pusat bagi beberapa fungsi termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Kita meyakini, usaha bersungguh-sungguh Kerajaan PH ditambah dengan keikhlasan dan kejujuran dalam pemerintahan, bakal menjadikan negara kembali disegani di rantau Asia dan mengaum sebagai *Harimau Asia* seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.

 

*Penulis adalah Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan